PETALING JAYA: Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao tidak gentar apabila dijadualkan membuat perhitungan dengan juara remaja dunia 2022, Kuo Kuan Lin dari Taiwan di pusingan suku akhir Kejohanan Badminton Masters Kuala Lumpur 2023 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa esok.
Jun Hao meneruskan kemaraan selepas menumpaskan rakan senegara, Lee Shun Yang di pusingan kedua hari ini dengan keputusan 21-15, 21-16 dalam tempoh 38 minit, manakala Kuan Lin yang baru sahaja berusia 19 tahun menewaskan rakan senegaranya, Wang Po Wei, 22-20, 9-21.
Pertarungan esok bakal menjadi pertemuan pertama Jun Hao dan Kuan Lin, justeru pemain kelahiran Kuala Lumpur itu akan berwaspada biarpun lawannya itu jauh lebih muda darinya.
“Saya kena fikirkan satu demi satu dahulu apa yang saya perlu buat, saya tidak pernah lagi pergi jauh dalam sebarang perlawanan antarabangsa di laman sendiri dengan maksima pencapaian saya adalah suku akhir sahaja, tidak kira kejohanan besar atau kecil.
“Saya tidak tahu gaya permainan dia (Kuan Lin) sebab tak pernah berlawanan dengan dia, apatah lagi melihat dia main. Tetapi saya tahu dia mempunyai standard tersendiri, jadi saya akan cuba buat kerja rumah malam ini dengan mengkaji permainannya melalui rakaman video,” jelas Jun Hao.
Turut sama mengiringi Jun Hao ke suku esok adalah Aidil Sholeh Ali Sadikin yang menampilkan aksi memberangsangkan ketika menewaskan pemain Cho Geoyeop, 21-19, 21-17. Aidil bakal menentang pemain Singapura, Jason Teh yang turut mengesahkan tiket ke suku selepas menang ke atas pemain Hong Kong, Chan Yik Chak, 21-13, 21-10.
Selain itu, K. Letshanaa menjadi wakil tunggal negara dalam acara perseorangan wanita setelah menang ke atas Hung Yi Ting dari Taiwan dengan keputusan 21-14, 21-8, manakala Wong Ling Ching pula akur tewas kepada Lee Yu Hsuan, 13-21, 21-11, 13-21.
Secara keseluruhan, sembilan wakil Malaysia berjaya meloloskan diri ke peringkat suku akhir esok yang akan bermula pada pukul tiga petang.