PETALING JAYA: Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao memastikan kem Malaysia menutup tirai Kejohanan Badminton Master Kuala Lumpur 2023 dengan kejayaan gemilang selepas menumpaskan pemain Taiwan, Lee Chia Hao di final yang berlangsung di Stadium Titiwangsa hari ini.
Biarpun Jun Hao turun sebagai pilihan kedua kejohanan, dia langsung tidak gentar dengan Chiao Hao yang diletakkan sebagai pilihan utama apabila menampilkan aksi bertenaga untuk mengatasi pemain Taiwan itu.
Selepas 43 minit bertarung, Jun Hao akhirnya mengesahkan dirinya sebagai juara dengan keputusan 22-20, 21-13.
Sebagai juara, Jun Hao meraih trofi dan hadiah kemenangan berjumlah AS$7,500 (RM 35,471), manakala Chiao Hao akur meraih ganjaran sebanyak AS$3800 (RM 17,972).
Lebih manis, Jun Hao sebagai anak jati Kuala Lumpur kini melakar sejarah menjadi juara edisi pertama kejohanan ini bagi acara perseorangan lelaki.
“Saya rasa tadi saya perlu tenang, kerana walaupun saya sedang mendahului dalam perlawanan tadi, dia tetap cuba mengejar dan ia memberikan tekanan kepada saya, mujur saya dapat mengawal keadaan.
“Memang bagus dan saya sangat gembira kerana dapat meraih gelaran ini di laman sendiri. Saya kena berterima kasih dan mahu mendedikasikan kemenangan ini kepada BAM (Persatuan Badminton Malaysia), semua staff sokongan dan ahli keluarga saya.
“Saya hadir ke kejohanan ini dengan banyak tekanan kerana ramai pihak menaruh harapan tinggi untuk saya memenanginya. Jadi apabila saya berjaya melakukannya, saya merasakan saya mampu untuk menanggung beban tekanan ini dengan beraksi baik sepanjang minggu ini,” jelas Jun Hao.
Terdahulu, beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See turut menjuarai kejohanan ini selepas menumpaskan pasangan Thailand, Pakkapon Teeraratsakul-Phataimas Muenwong dengan keputusan 21-9, 17-21, 21-10.
Sejurus selepas memenangi kejohanan ini, Jun Hao dan beberapa lagi pemain negara akan berlepas ke Gwangju, Korea Selatan bagi menyertai Master Korea yang akan membuka tirai pada Selasa.