Jerman belasah juara bertahan, berdepan Australia pada final

Jerman belasah juara bertahan, berdepan Australia pada final SOJC 2023

MICHEL Struthoff melepasi kawalan pemain India pada aksi separuh akhir SOJC di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Jerman menempah tiket ke final Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 selepas membelasah juara bertahan, India 6-3 pada aksi separuh akhir di Stadium Hoki Taman Daya, di sini malam tadi.

Juara SOJC edisi kedua pada 2012 itu akan berdepan Australia yang menewaskan Pakistan dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Pasukan kendalian Rein Van Eijk itu selesa di hadapan setelah mencipta dua jaringan pada suku kedua oleh Christian Franz menerusi gol padang pada minit ke-16 dan Nikas Berendts yang memanfaatkan pukulan sudut penalti pada minit ke-29.

Tersentak dengan jaringan itu, pasukan bimbingan C.R. Kumar merapatkan kedudukan apabila memperoleh gol menerusi Lakra Amandeep yang menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-35.

Jaringan itu tidak menggugat semangat pasukan Jerman untuk melangkah ke final dalam penampilan keduanya dalam SOJC apabila terus mengganas membedil empat gol pada separuh masa kedua.

Berendts menambah gol peribadinya pada perlawanan itu pada minit ke-45 manakala Peer Hinrichs mencipta dua gol pada minit ke-43 dan minit ke-48.

Florian Sperling menambah derita buat juara tiga kali itu apabila mencipta jaringan menerusi gol padang pada minit ke-49.

Tidak berputus asa, India tetap mengatur serangan dan berjaya memperoleh dua gol saguhati yang dijaringkan kapten Uttam Singh pada minit ke-58 dan Rohit pada minit ke-60.

Sementara itu, Australia berdepan tentangan hebat Pakistan sebelum mencatatkan kemenangan 2-1.

Gol perlawanan itu hadir pada aksi suku kedua yang dijaringkan Cooper Burns pada minit ke-18 dan Brodee Foster pada minit ke-29 menerusi gol padang.

Ketika perlawanan berbaki satu minit 40 saat, Pakistan akhirnya berjaya merobek gawang naib juara musim lalu apabila Hannan Shahid menggelecek penjaga gol, Max Larkin sebelum meletakkan bola ke dalam gawang Australia.

Pakistan mempunyai peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan namun gagal berbuat demikian dan tiada pertambahan gol direkodkan.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya