PETALING JAYA: Ketua jurulatih badminton skuad remaja negara, Jeffer Rosobin pasang impian besar untuk cuba melahirkan seorang lagi pemain menjadi jaguh utama dunia.
Jeffer yang telah pun memulakan tugas secara rasmi bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sejak 1 November lalu bagi menggantikan kekosongan ditinggalkan Datuk Misbun Sidek, yakin misi melahirkan juara dalam kalangan pemain remaja Malaysia bukanlah mustahil.
Sebagai rekod, Jeffer pernah membentuk perseorangan wanita Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung menjadi juara remaja dunia pada edisi 2017 di Yogyakarta, serta membantu pasukan remaja Indonesia meraih pingat emas acara berpasukan campuran ketika edisi 2019 di Kazan, Rusia.
“Kalau boleh, BAM mahu saya bantu skuad remaja negara mendapatkan keputusan cemerlang sepanjang tempoh perkhidmatan saya di sini. Kalau tidak meraih gelaran juara dunia, setidak-tidaknya menjadi juara Asia.
“Saya memohon dan menerima tawaran untuk bekerja di BAM adalah disebabkan mahu mencari cabaran baru untuk diri saya. Saya mahu mendapatkan satu lagi pencapaian sebagai jurulatih di samping saya lihat di BAM terdapat beberapa orang pemain senior saya ketika di Indonesia kini melatih pemain di sini, jadi saya rasa mengapa tidak saya mengembangkan karier kejurulatihan saya di sini.
“Kalau dilihat, banyak pemain muda dalam skuad remaja negara ketika ini mempunyai potensi. Jadi jika saya mendapat sokongan yang sepenuhnya, ditambah komitmen tinggi daripada semua pemain, saya rasa tidak mustahil mampu untuk mencapai keputusan cemerlang,” jelas Jeffer ketika ditemui Utusan Malaysia di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.
Kali terakhir pemain negara bergelar juara remaja dunia adalah menerusi Goh Jin Wei yang merangkul gelaran tersebut sebanyak dua kali iaitu ketika 2015 di Lima, Peru dan tiga tahun kemudian di Markham, Kanada.
Pemain Malaysia terakhir yang meraih gelaran juara remaja Asia pula adalah perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao yang menewaskan pemain China, Han Yue di pentas final 2017 di Jakarta, Indonesia.