PETALING JAYA: Impian dua beregu campuran negara untuk mara ke final Kejohanan Badminton Masters Korea musnah selepas tumbang kepada lawan masing-masing dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Universiti Wanita Gwangju, Korea Selatan hari ini.
Pasangan meningkat naik, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan dilihat bergelut untuk mengatasi pasangan tuan rumah, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung.
Seung Jae-Yu Jung yang juga pilihan pertama kejohanan akhirnya menafikan hasrat pasangan negara ini dengan keputusan 14-21, 17-21 dalam tempoh 39 minit.
Nasib sama turut menimpa pasangan profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang tersingkir daripada kejohanan ini.
Soon Huat dan Shevon yang menampilkan aksi meyakinkan sepanjang kejohanan ini akur dengan kehebatan lawan dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin apabila tumpas dengan keputusan 19-21, 15-21 selepas hanya bertarung selama 34 minit.
Dalam masa yang sama, turut mencuri perhatian adalah bekas pemain No. 1 Dunia, Kento Momota yang kembali semula membuat penampilan di pentas final selepas menewaskan pemain China, Lei Lan Xi dengan keputusan 21-10, 21-19.
Momota akan berdepan rakan senegara, Koki Watanabe di pentas final esok.