Harimau Malaya kotakan janji, bawa pulang tiga mata

Harimau Malaya kotakan janji, bawa pulang tiga mata

PEMAIN negara, Paulo Josue diasak pemain Taiwan dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Municipal Taipei, malam ini.-Ihsan Izari Rosli/Flash Sukan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harimau Malaya meneruskan permulaan cemerlang dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 apabila mencatatkan kemenangan kedua dengan menumpaskan Taiwan 1-0, sebentar tadi.

Dalam perlawanan di Stadium Municipal Taipei itu, Darren Lok muncul wira Harimau Malaya apabila jaringannya pada minit ke-72 membolehkan skuad bimbingan Kim Pan Gon pulang dengan tiga mata penuh.

DARREN Lok meledak gol kemenangan dalam aksi menentang Taiwan.

Kemenangan itu juga membolehkan Malaysia kini mengumpulkan enam mata selepas dua perlawanan, sekali gus mencerahkan peluang untuk melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia.

Dalam perlawanan itu, Harimau Malaya bermula baik pada 15 minit pertama dengan melancarkan serangan ke pintu gawang Taiwan, namun disiplin tinggi benteng The Blue Wings berjaya mengawal keadaan.

Peluang terbaik untuk Harimau Malaya berada dihadapan hadir pada minit ke-25 menerusi kapten, Dion Cools, namun rembatannya hasil hantaran Corbin Ong sedikit tersasar.

Dua minit kemudian, Akhyar Rashid pula dihidangkan peluang terbaik untuk menghasilkan gol, namun penyudah tumpul mengecewakan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.

PRESIDEN FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin turut hadir memberikan kata-kata semangat kepada pemain.

Pada minit ke-39, Harimau Malaya melakukan percubaan tepat pertama perlawanan menerusi Stuart Wilkin, namun penjaga gol Taiwan, Pan Wen Chieh berjaya menampan kemas untuk menyelamatkan keadaan.

Pada minit ke-42, Malaysia terlepas satu lagi peluang terbaik apabila percubaan Faisal Abdul Halim hasil hantaran Arif Aiman Hanapi sekadar menggegarkan tiang gol Taiwan.

Keputusan 0-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil dari Arab Saudi, Majed Mohammed Alshamrani dan bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan masih seimbang dan gagal menemui sentuhan jaringan.

Sedar Harimau Malaya memerlukan jaringan, Pan Gon membuat dua pertukaran dengan membawa masuk Endrick Dos Santos dan Darren Lok bagi mengantikan Afiq Fazail dan Paulo Josue.

Percaturan itu ternyata berhasil apabila, Darren bijak menghidu peluang untuk menyudahkan bola muntah hasil percubaan Endrick pada minit ke-72.

Pada lima minit terakhir perlawanan, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan Taiwan yang dibimbing Gary White menggandakan usaha untuk mencari gol penyamaan.

Keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, sekali gus Harimau Malaya berjaya mengekalkan rekod cemerlang dan membawa pulang tiga mata penuh.

Selepas ini, Malaysia akan berdepan Oman di tempat lawan pada 21 Mac 2024 dan ditempat sendiri enam hari kemudian, selepas itu akan bertemu Kyrgyzstan pada 6 Jun sebelum kembali menerima kunjungan Taiwan pada 11 Jun.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya