PETALING JAYA: Kedudukan skuad bola sepak kebangsaan melonjak tujuh anak tangga dalam ranking terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), hari ini.
Sebelum ini, Harimau Malaya berada di kedudukan ke-137 dan kini berada di kedudukan ke-130 dunia selepas kemaskini terbaharu badan induk tersebut.
Kedudukan terbaru berkenaan adalah yang terbaik dicapai Harimau Malaya dalam tempoh 17 tahun selepas menduduki ranking ke-124 dunia pada 2006.
Pencapaian itu diraih susulan kejayaan anak-anak buah Kim Pan Gon yang melakar dua kemenangan dalam dua aksi awal Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, bulan lalu.
Harimau Malaya bangkit dengan penuh dramatik di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 16 November lalu apabila menewaskan pasukan ranking kelompok 100 dunia, Kyrgyzstan 4-3.
Lima hari kemudian, pemain negara meneruskan aksi cemerlang apabila mereka menewaskan Taiwan 1-0, sekali gus menjadi kemenangan sulung Harimau Malaya di negara tersebut.
Tugasan besar Harimau Malaya yang seterusnya adalah pusingan akhir Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Qatar pada Januari hingga Februari tahun hadapan.
Skuad Pan Gon diundi dalam Kumpulan E bersama gergasi Asia yang juga juara dua kali, Korea Selatan selain Bahrain dan Jordan.-UTUSAN