KUALA LUMPUR: Penuh dramatik, Harimau Malaya bangkit daripada ketinggan 1-3 untuk membenam Kyrgyzstan 4-3 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, malam ini.
Dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, anak-anak buah Kim Pan Gon bermula garang apabila berada di hadapan pada minit ke-6 menerusi tandukan, Dion Cools.
Bagaimanapun, Kyrgyzstan bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-42 melalui rembatan Zhyrgalbek Kairat selepas keadaan kelam-kabut di depan pintu gol Harimau Malaya.
Dua minit kemudian, Kyrgyzstan menghukum kealpaan benteng Harimau Malaya apabila mereka memanfaatkan peluang untuk berada 2-1 dihadapan hasil jaringan Batyrkanov Ernist.
Keputusan 2-1 kekal sehingga wisel penamat separuh masa pertama dibunyikan dan bersambung babak kedua, Harimau Malaya dikejutkan dengan gol ketiga Kyrgyzstan menerusi, Merk Kai pada minit ke-57.
Tersentak dengan jaringan itu, Pan Gon mengubah percaturan membawa masuk Paulo Josue, Akhyar Rashid dan Endrick Dos Santos bagi menggantikan Brendan Gan, Shahrul Saad dan Darren Lok.
Gol berkenaan terhasil selepas Arif Aiman Hanapi bijak loloskan diri daripada bahagian tepi padang untuk melakukan hantaran sebelum Brauzman tertampan bola ke gawang sendiri.
Tidak lama selepas itu, Harimau Malaya berjaya mengikat kedudukan menjadi 3-3 selepas Cools sekali lagi menyudahkan sepakan sudut yang diambil oleh Arif Aiman.
Gol berkenaan ternyata membakar semangat Harimau Malaya dan asakan bertali arus berhasil apabila Faisal Abdul Halim berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ketiga masa tambahan.
Kemenangan itu menyaksikan anak-anak buah Pan Gon lulus ujian pertama dan berjaya mengutip tiga mata penuh, selepas ini mereka akan terbang ke Taiwan untuk perlawanan kedua pada 21 November. – UTUSAN