PETALING JAYA: Impian beregu lelaki profesional negara, Low Hang Yee-Eng Ng Cheong untuk menambah satu lagi koleksi kejuaraan dalam karier mereka tidak kesampaian setelah tumpas dalam perlawanan akhir Kejohanan Badminton Master Kuala Lumpur 2023 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa hari ini.
Hang Yee-Ng Cheong turun sebagai pilihan ketiga kejohanan gagal menyerap tekanan sebagai pemain tuan rumah apabila bergelut untuk menyaingi lawan dari Taiwan, Chen Cheng Kuan-Chen Sheng Fa sebelum tumbang dengan keputusan 21-23, 17-21 dalam tempoh 40 minit.
Begitupun, pasangan negara ini masih membawa pulang trofi dan hadiah kemenangan sebanyak AS$3,800 (RM 17,972), manakala Cheng Kuan dan Sheng Fa yang meraih juara membawa pulang trofi dan hadiah kemenangan sebanyak AS$ 7,900 (RM 37,363).
“Kami beraksi di laman sendiri hari ini dan sepatutnya kami menggunakan kelebihan itu untuk memenangi perlawanan ini, tetapi sebaliknya saya berasa tertekan.
“Saya berasa sedikit tertekan dalam perlawanan ini dan tekanan itu datang daripada saya sendiri, tetapi saya rasa ini adalah pengalaman terbaik untuk kami,” jelas Ng Cheong.
Untuk rekod, ini merupakan pentas final keenam buat pasangan negara ini dengan tiga daripadanya berakhir dengan kejayaan, antaranya di Terbuka Slovenia, Austria dan Siri Antarabangsa Mongolia.