Hamidin cabar skuad negara layak ke Sukan Olimpik Paris

Hamidin cabar skuad bola sepak negara layak ke Sukan Olimpik Paris 2024

Skuad bola sepak bawah 23 tahun negara yang beraksi di Sukan SEA Kemboja 2023. (Foto: Ihsan Persatuan Bola Sepak Malaysia)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mencabar barisan skuad bawah 23 (B23) tahun negara yang akan beraksi di Piala Asia B23 tahun hadapan untuk merebut slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Hamidin mengakui ia bukan misi mudah, apatah lagi skuad negara perlu berentap dengan 15 pasukan terbaik rantau ini untuk merebut tempat ke temasya sukan terbesar dunia itu, namun mahu Malaysia berusaha sebaik mungkin menjelang kejohanan yang akan berlangsung pada 15 April hingga 3 Mei depan di Doha, Qatar.

Hanya juara, naib juara dan pasukan tempat ketiga sahaja yang akan layak secara automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Jangan dilupakan bola sepak pada bulan empat ini, saya juga sudah berjumpa dengan mereka semua (para pemain), manalah tahu, tetapi kita kena berusaha juga.

“Kita mesti cuba, saya tahu ini soalan provokasi, tetapi saya sudah pesan kepada pengurus dan jurulatih, kita mesti berusaha dengan usaha yang maksima. Kita ada 16 pasukan, kita cuba untuk layak ke suku akhir dahulu.

“Saya tahu memang sukar kerana hanya tiga pasukan sahaja yang akan layak (ke Sukan Olimpik), Jepun dan Korea Selatan pula adalah pasukan yang bagus dan kebanyakkan mereka pernah beraksi di Piala Dunia, dan perkiraan saya menunjukkan satu slot lagi boleh diperoleh, tetapi perlu menentang pasukan dari benua Afrika.

“Prinsip saya adalah, saya tahu sukar, tetapi saya mahu kita berusaha untuk layak juga,” jelas Hamidin kepada media ketika Majlis Sambutan Deepavali bersama Persatuan Sukan Kebangsaan di Subang Jaya, hari ini.

Skuad B23 negara layak beraksi di Piala Asia B23 tahun hadapan setelah menamatkan saingan kelayakan yang berlangsung di Chonburi, Thailand September lalu di kedudukan keempat naib juara terbaik.

Undian bagi Kejohanan Piala Asia B23 dijadualkan berlangsung pada 23 November ini.

Skuad muda negara bakal ke Doha tahun hadapan dengan jurulatih baru, Juan Torres Garrido yang dinaikkan pangkat menggantikan E. Elavarasan.

Kali terakhir skuad bola sepak negara layak ke Sukan Olimpik adalah ketika edisi 1980 di Moscow, Rusia, namun Malaysia ambil pendekatan memboikot temasya tersebut setelah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya