PUTRAJAYA: Lupakan dahulu keinginan soal kahwin, jika berhajat untuk melangkah lebih jauh dalam Kejuaraan Motosikal Dunia, tegur Prinsipal RNF MotoGP Team, Datuk Razlan Razali kepada pelumba-pelumba muda negara.
“Terus terang saya katakan, MotoGP merupakan satu sukan yang berbahaya dan pelumba kena fokus dan beri komitmen sepenuhnya kepada perlumbaan.
“Jika seorang pelumba itu ada tanggungjawab, ada isteri dan anak pada usia yang muda memang susah dia nak beri perhatian kepada sukan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Belia Bersama Sukan Pemotoran MAM di sini, hari ini.
Turut serta pada majlis itu ialah pelumba MotoGP, Raul Fernandez dan Timbalan Presiden Persatuan Sukan Pemotoran Malaysia (MAM), Datuk Mohammed Ghazi.
Menurut Razlan, seorang atlet terutama dalam sukan pemotoran yang beraksi dalam Kejuaraan Dunia, fokus pada karier perlu diberi 200 peratus sebelum memikirkan perkara lain.
Jelasnya, kalau sudah ada tanggungjawab besar, memang sukar untuk pelumba berkenaan memberikan perhatian kepada kariernya.
“Macam saya dulu, semasa Zulfahmi (Khairuddin) nyatakan hasrat untuk berkahwin pada umur dia 24 tahun, jawapan pertama saya bukan ucapan tahniah tetapi sebaliknya saya bertanya kenapa, ini kerana sebagai pelumba karier perlu diberi keutamaan terlebih dulu,” ujarnya.
Ketika ditanya pula mengenai potensi pelumba Malaysia untuk bersaing dalam MotoGP, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu memberitahu, untuk mencari pelumba tempatan bersaing dalam kelas utama itu bukan mudah dan ia satu realiti yang terpaksa semua terima.
“Kita hanya ada Syarifuddin Azman dalam saingan Moto3, lepas itu dah tak ada, kalau dahulu kita ada ramai pelumba Moto2 dan Moto3, bagi saya Malaysia agak kebelakang berbanding Indonesia.
“Justeru, saya harap program pembangunan yang ada dapat dibuat balik dan pastikan pencarian bakat dilakukan secara berterusan dan bukannya buat separuh jalan, berhenti lepas itu sambung balik, tak boleh macam itu,” tegasnya.
Beliau menambah, pada ketika ini melalui Zulfahmi Racing Team, Malaysia ada memiliki beberapa pelumba muda berbakat seperti Muhammad Hakim Danish Ramli, 16, Danial Syahmi Ahmad Shahril, 21, dan Qabil Irfan Azlan, 11 tahun.