PUTRAJAYA: Jaguh angkat berat, Muhammad Erry Hidayat dan gimnas, Ng Joe Ee masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Wilayah Persekutuan pada Majlis Anugerah Sukan Wilayah Persekutuan 2021/2022, malam ini.
Kejayaan itu membolehkan Erry dan Joe Ee membawa pulang hadiah berupa piala pusingan, wang tunai RM8,000 dan juga barangan sukan bernilai RM1,000 yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Erry yang baharu sahaja meraikan ulang tahun yang ke-24, mengetepikan saingan sengit daripada atlet renang, Steve Khiew dan juga S. Prem Kumar (karate), manakala Joe Ee mengatasi dua penerjun, Nur Dhabitah Sabri dan juga Wendy Ng Yan Yee.
Badang Wilayah Persekutuan yang juga anak kepada bekas jaguh angkat berat, Hidayat Hamidun itu dipilih sebagai olahragawan selepas melakar kejayaan cemerlang apabila merangkul pingat perak pada Kejohanan Angkat Berat Asia 2021.
Beliau juga meraih pingat perak pada Sukan Komanwel 2022 Birmingham, pingat gangsa pada Sukan SEA Vietnam 2022, selain turut berjaya memperbaharui rekod kebangsaan dengan jumlah angkatan 310 kilogram (kg) bagi kategori 73kg.
Kejayaan Erry yang turut dinobatkan sebagai Olahragawan Masum 2022 pada Julai lalu itu menjadikan beliau sebagai atlet angkat berat pertama merangkul gelaran Olahragawan Wilayah Persekutuan sejak ia mula dianjurkan pada tahun 2007.
Sementara itu, Joe Ee, 18, yang mempamer aksi cemerlang sepanjang tahun lalu apabila merangkul dua pingat emas dalam disiplin bola dan riben pada Sukan Komanwel di Birmingham dan dia turut memenangi gelaran Olahragawati Kebangsaan 2022.- UTUSAN