Empat wanita buru tiket ke Paris

Empat wanita buru tiket ke Paris

YEONG Zhen Yi (kanan) dan Nur Aisyah Mohamad Zubir antara calon untuk mengisi slot basikal lebuh raya ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jurulatih berbasikal lebuh raya wanita negara, Amir Mustafa Rusli telah mencadangkan empat nama pelumba kepada Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) untuk mengisi slot tunggal ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Antara nama yang telah disenarai pendek adalah Phi Kun Pan yang telah memenangi pingat emas Kejohanan Lumba Basikal Lebuhraya Asia (ACC) di Thailand bulan lalu, juara kebangsaan, Siti Nur Adibah Akma, atlet muda meningkat naik, Yeong Zhen Yi, serta pemenang dua pingat gangsa Sukan SEA Kemboja 2023, Nur Aisyah Mohamad Zubir.

SITI NUR ADIBAH AKMA
PHI KUN PAN

Tambah Amir, kesemua empat nama yang telah dicadangkannya mempunyai reputasi yang tersendiri dan menyerahkan kepada panel pemilihan PKBM untuk membuat keputusan.

PKBM dijangka mengumumkan pilihan mereka dalam satu sidang media yang berlangsung di Velodrome Nasional, Nilai, Negeri Sembilan esok.

“Kita akan melihat pencapaian setiap daripada mereka sejak tahun lalu sehingga sekarang, dari segi prestasi dan juga siapa di antara yang dilihat berpotensi membantu Malaysia di Sukan Olimpik nanti.

“Bagi saya, saya faham apa yang mereka akan rasa di Sukan Olimpik nanti. Jadi saya tahu bagaimana untuk membantu mereka untuk kekal bertahan sehingga tamat perlumbaan, ataupun kalau boleh menempatkan diri di kelompok yang terbaik,” jelas Amir kepada Utusan Malaysia.

Tambah Amir yang pernah beraksi di Sukan Olimpik London 2012, dia juga telah merancang pelan persiapan untuk ke Paris pada Julai 2024 dengan mengatur untuk menyertai tiga saingan jelajah berbasikal, terdiri daripada Jelajah Vietnam, Thailand serta China serta tambahan tujuh lagi kejohanan.

“Walaupun kita hanya dapat satu slot, kesemua pelumba kita akan tetap dapat kelebihan sebab bila saya rangka pelan latihan, kesemua mereka akan dilibatkan, tiada siapa akan dipinggirkan.

“Misalnya Jelajah Vietnam pada Februari tahun hadapan, kita tetap akan memerlukan enam pelumba, jadi semua akan dapat manfaat. Jadi persiapan ini bukan sahaja untuk Sukan Olimpik, tetapi juga untuk Sukan SEA Thailand 2025,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya