SEREMBAN: Impian wakil tuan rumah, Rachel Arnold untuk bergelar juara di Kejohanan Piala Skuasy Malaysia Ace 2023 tidak kesampaian apabila tumpas kepada pemain Mesir, Nour El Tayeb dalam perlawanan akhir sebentar tadi.
Aksi yang berlangsung di Gelanggang Skuasy Kompleks Sukan Tan Sri Dato’ Said, Seremban 2, Negeri Sembilan menyaksikan Rachel turun membawa momentum selepas menumbangkan dua pemain Mesir, Farida Mohammed yang juga pilihan kedua kejohanan di peringkat suku akhir, disusuli kemenangan ke atas Malak Khafagy di separuh akhir semalam.
Bagaimanapun Rachel berdepan kesukaran untuk menjinakkan El Tayeb yang juga pilihan pertama kejohanan dalam aksi final.
El Tayeb, pemain No. 6 Dunia unggul untuk menguasai gelanggang sekaligus mudah menewaskan Rachel dengan keputusan 2-11, 4-11, 4-11 dalam tempoh 15 minit.
“Kaki kanan saya tidak berapa okey selepas set pertama. Saya sudah cuba sebaik mungkin selepas itu tetapi masih tidak dapat (beraksi pada tahap terbaik).
“Secara keseluruhan saya gembira kerana berjaya melangkah ke perlawanan akhir kerana ini adalah pencapaian terbaik dalam karier saya setakat ini.
“Ia membuktikan kerja keras saya telah menuai hasil. Namun, saya sedikit kecewa kerana hari ini bukan prestasi terbaik saya,” jelas Rachel sejurus tamat perlawanan.