Eain Yow, Sivasangari mara ke separuh akhir Kejohanan Piala M

Eain Yow, Sivasangari mara ke separuh akhir Kejohanan Piala Malaysia Ace

S. SIVASANGARI (kanan) membalas pukulan yang dilakukan Lee Ka Yi sewaktu suku akhir Kejohanan Skuasy Piala Malaysia Ace di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini. - Ihsan PSA World Tour
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua lagi wakil Malaysia, Ng Eain Yow dan S. Sivasangari turut mengiringi Rachel Arnold ke separuh akhir, selepas kedua-dua mereka melepasi halangan lawan masing-masing pada peringkat lapan terbaik Kejohanan Skuasy Malaysia Ace di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.

Pemain No. 20 dunia yang turun selaku pilihan keempat, Eain Yow melakar kemenangan straight set ke atas Sebastien Bonmalais dari Perancis 11-6, 11-9, 11-2.

Pada separuh akhir, esok, pemain berusia 25 tahun itu bakal berdepan laluan getir menentang jaguh No. 6 dunia dari Mesir, Karim Abdel Gawad selepas pilihan kedua itu mengetepikan Dimitri Steinmann dari Switzerland 13-11, 11-9, 12-10.

Eain Yow ketika ditemu bual selepas perlawanan tamat berkata, dia tidak menduga meraih kemenangan dalam tiga set dan lawannya itu kelihatan cukup tertekan dalam aksi, hari ini.

“Saya nampak dia bergelut baik dari segi fizikal dan juga mental, sementara saya pula bersedia dalam kedua-dua aspek itu.

“Jujur, saya memang tak duga menang tiga set dan saya tak kisahpun untuk main lima set kerana tahu saya mampu melakukannya,” kata pemain yang kini berpangkalan di Bristol, England itu.

Bercakap tentang perlawanan separuh akhir menentang Karim, anak kelahiran Kuala Lumpur itu menjelaskan, Karim merupakan bekas pemain No. 1 dunia dan rankingnya sedikit terjejas pada ketika ini kerana dia baru kembali daripada kecederaan.

“Saya cuba memberikan yang terbaik, esok, rekod pertemuan kami 1-1, kali terakhir kami bertemu pada awal tahun ini, dia kalahkan saya dalam permainan sengit dan saya pula pernah tewaskan Karim dua tahun lalu,” ujarnya.

Sementara itu, dalam aksi perseorangan wanita, pemain No. 32 dunia, S. Sivasangari menewaskan pemain Hong Kong, Lee Ka Yi 11-9, 11-9, 11-5.

Seperti mana Eain Yow, anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu turut berdepan laluan sukar apabila perlu melepasi halangan bintang Mesir yang menghuni ranking No. 6 dunia, Nour El Tayeb jika berhajat melangkah ke final.

Sivasangari yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh berkata, dia mengintai peluang untuk memburu kemenangan ke atas pilihan pertama itu.

“Esok, sekali lagi saya akan memulakan hari baru, saya teruja untuk beraksi, esok, saya memang bersedia dan cuba bermain baik bagi mendapatkan kemenangan,” katanya.

Mengulas mengenai separuh akhir menentang Ka Yi, Sivasangari memberitahu, pemain berpengalaman Hong Kong itu bermain dengan cukup baik menentang Aifa Azman, semalam.

“Saya memang sedar sejak kebelakangan ini Ka Yi memang berada pada prestasi yang baik dan Aifa pula sedikir tersasar daripada landasan permainannya.

“Untuk pertemuan, hari ini, saya juga tahu Ka Yi turun tanpa tekanan dan bermain dengan tenang, jadi, saya perlu mengekalkan rentak permainan dan gembira berjaya mencatat kemenangan dalam tiga set,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya