KUALA LUMPUR: Dua gol pantas Kyrgyzstan tenggelamkan permulaan cemerlang Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dalam aksi pertama kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027.
Malaysia mendahului Kyrgyzstan seawal minit ke-6 menerusi Dion Cools, namun lawan bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-42 melalui rembatan Zhyrgalbek Kairat selepas keadaan kelam kabut di depan pintu gol Harimau Malaya.
Dua minit kemudian, Kyrgyzstan menghukum kealpaan benteng Harimau Malaya apabila mereka memanfaatkan peluang untuk berada dihadapan 2-1 hasil jaringan Batyrkanov Ernist, sekali gus menyaksikan Ahmad Syihan Hazmi tewas buat kali kedua.
Sebelum dua gol Kyrgyzstan hadir, anak-anak buah Kim Pan Gon mempamerkan aksi tersusun dan melakukan serangan bertali arus ke gawang lawan namun, tiada tambahan jaringan berjaya direkodkan.
Bagaimanapun, kesilapan gagal mengeluarkan bola di kawasan bahaya menyebabkan Harimau Malaya dihukum dengan dua gol pantas skuad kendalian Stefan Tarkovic pada penghujung babak pertama.
Keputusan 2-1 kekal sehingga wisel penamat separuh masa pertama dibunyikan.-UTUSAN ONLINE