Damok tercorot, masalah komunikasi punca prestasi merudum

Damok tercorot, masalah komunikasi punca prestasi merudum

Syarifuddin Azman atau lebih dikenali dengan panggilan Damok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Masalah komunikasi yang dihadapi Syarifuddin Azman dengan krew pasukannya antara punca pergelutan prestasi dialami pelumba Moto3 negara itu apabila dia sekadar berada di kedudukan tercorot pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dekat sini, hari ini.

Pelumba yang mewakili pasukan MT Helmets-Msi itu mencatat masa sepusingan 2 minit 13.499 saat (s) untuk berada di tempat ke-28.

“Hendak cakap krew tak faham apa yang saya cakapkan, mereka seperti faham apa yang saya mahukan, tetapi, masalahnya kefahaman mereka terhadap saya bertentangan.

“Keadaan itu menjadi semakin mengelirukan, kadang-kadang bila saya jelaskan kepada krew, mereka kata yang mereka faham apa yang saya mahu, tetapi, hasilnya selalu tak sama,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi kelayakan Moto3 berakhir.

Bagaimanapun, Syarifuddin atau lebih mesra dengan panggilan Damok masih belum mahu mengaku kalah untuk dia melakukan sesuatu bagi menebus maruahnya di hadapan penyokong sendiri.

“Selepas melakukan perubahan pada jentera, akhirnya saya dapat pelarasan yang saya mahukan, tetapi tak sempat untuk memperbaiki catatan masa saya pada sesi kelayakan,” ujarnya.

Damok mengakui dia kurang gembira dengan keputusan pada sesi kelayakan, lebih-lebih lagi beraksi di laman sendiri.

“Saya kecewa tidak dapat menunjukkan prestasi yang baik di hadapan peminat. Bagaimanapun, perjuangan saya masih belum berakhir kerana walaupun berada di kedudukan belakang tidak bermakna saya tidak boleh memberikan tentangan,” tegasnya.

Menurut Damok, sebelum ini, pelumba Great Britain, John McPhee pernah memulakan perlumbaan di kedudukan corot, tetapi dia akhirnya berjaya muncul sebagai pemenang.

Jaume Masia dari pasukan Leopard Racing menempah petak pertama setelah mencatat masa terpantas 2:10.846s, manakala pelumba pasukan Liqi Moly Husqvarna Intact GP, Collin Veijer di kedudukan kedua (2:11.752s) dan tempat ketiga menjadi milik, Matteo Bertelle dari pasukan Rivacold Snipers Team (2:11.778s). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya