SEPANG: Perlumbaan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia bakal menyajikan ‘peperangan’ dua penjuru antara penyandang juara dunia, Francesco Bagnaia dan pencabar terdekatnya, Jorge Martin setelah kedua-dua pelumba itu menempah petak pertama serta kedua pada aksi kelayakan MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dekat sini, hari ini.
Bagnaia yang bernaung di bawah pasukan Ducati Lenovo Team mempamerkan persembahan dramatik apabila memintas Martin pada pusingan terakhir kelayakan kedua dengan lakaran masa terpantas 1 minit 57.491 saat (s).
Tidak sekadar menempah petak pertama, pelumba Itali juga berjaya mencipta rekod baharu sepusingan terpantas di SIC dalam cuaca yang panas terik.
Pelumba berusia 26 tahun tersebut memecah rekod milik Martin, yang sebelum itu terlebih dahulu berjaya berbuat demikian dalam kelayakan sama, tetapi, ia tidak kekal lama apabila Bagnaia mengatasi catatan tersebut sewaktu memacu jenteranya di hujung saingan.
Kejayaan tersebut menyaksikan pelumba Prima Pramac Racing, Martin yang pada awalnya hampir pasti menyambar petak pertama dengan catatan 1:57.549s, terpaksa berpuas hati dengan kedudukan kedua.
Usaha pelumba Sepanyol itu untuk merampas kembali kedudukan menemui kegagalan, apabila jentera yang dipacunya terbabas dan tidak dapat melengkapkan pusingan.
Bagnaia atau lebih mesra dengan panggilan Pecco ketika ditemu bual oleh MotoGP selepas sesi kelayakan berakhir berkata, amat penting untuk dia beraksi baik dalam setiap kelayakan.
“Bagi saya ia amat penting dan kebanyakan catatan masa yang saya lakukan, hari ini, amat menakjubkan.
“Saya sangat gembira dapat kembali berada di petak pertama (kali terakhir di Catalan, September lalu) dan segalanya berjalan dengan sangat positif,” katanya.
Sementara itu, Martin menyifatkan kesilapannya gara-gara terjatuh ketika berada di hujung saingan wajar diambil sebagai iktibar.
“Saya berada dalam keadaan yang baik, tetapi kami perlu segera mencari punca mengapa kemalangan itu berlaku dan tidak mengulangi kesilapan yang sama,” ujar Martin.
Petak ketiga menjadi milik rakan sepasukan Bagnaia, Enea Bastianini yang mencipta masa sepusingan 1:57.590s, manakala, Alex Marquez dari Grasini Racing MotoGP berada di kedudukan keempat dengan lakaran masa 1:57.661s. – UTUSAN