PETALING JAYA: Berdepan jadual padat sepanjang tahun ini tidak menghentikan langkah pemain remaja negara, Aira Azman untuk mengetepikan rakan senegara, J. Yasshmita pada pusingan pertama Kejohanan Skuasy Piala Malaysia Ace di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.
Naib juara remaja dunia berusia 19 tahun itu melakar kemenangan straight set ke atas Yasshmita 11-9, 14-12, 12-10 pada kejohanan yang menarik beberapa nama besar seperti pemain No. 6 dunia, Nour El Tayeb, Mostafa Asal (No. 5 dunia) dan Karim Abdel Gawad (No. 6 dunia).
Pada pusingan kedua, esok, Aira bakal berdepan seorang lagi wakil Malaysia, Rachel Arnold yang mendapat bye selaku pilihan kelima.
Aira ketika ditemu bual selepas perlawanan mengakui dirinya mula berasa keletihan selepas beraksi dalam kejohanan di peringkat remaja dan juga Persatuan Skuasy Profesional (PSA) sepanjang tahun ini.
“Saya agak letih sebenarnya, kalau tak silap saya sudah bermain lebih kurang 15 kejohanan tahun ini, jadual memang padat, tapi saya hendak habiskan tahun ini dengan bermain baik.
“Saya beraksi dalam Piala Malaysia Ace ini dan beberapa lagi kejohanan dalam jelajah, saya berharap dapat meningkatkan ranking saya,” katanya yang mensasarkan untuk mara sehingga ke suku akhir.
Mengulas mengenai persembahannya menentang rakan sebayanya, Yasshmita, Aira yang kini menghuni ranking ke-52 dunia itu berkata, dia tidak memberikan 100 peratus pada pertemuan tadi dan berharap dapat memperbaiki permainannya menjelang aksi menentang Rachel.
Sementara itu, pemain Malaysia yang pernah berada pada ranking No. 5 dunia sewaktu kemuncak kariernya, Low Wee Wern turut mara ke pusingan kedua selepas menewaskan Menna Hamed dari Mesir 11-9, 11-2, 7-11, 13-11 dalam masa 46 minit.
Wee Wern, 33, bakal mengharungi laluan getir pada peringkat seterusnya apabila perlu berdepan pilihan kedua, Farida Mohamed juga dari Mesir.
“Saya tak pernah bertemu dengan Farida sebelum ini, saya sendiri telah agak lama berehat dan tidak menyertai sebarang kejohanan sejak kebelakangan ini, jadi, esok saya berharap dapat bermain dengan baik,” ujar Wee Wern.
Dalam aksi lelaki pula, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar mengalahkan Yannik Omlor dari Jerman 16-14, 11-3, 11-13, 14-12 dan abang ipar kepada Aira itu akan berdepan Saurav Ghosal dari India, esok.
Turut mengikut jejak langkah Addeen ialah Ivan Yuen yang menyingkirkan pemain Mesir, Aly Hussein dalam aksi yang berlanjutan sehinggga lima set 11-6, 11-13, 3-11, 11-7, 11-5.
Nasib berbeza menimpa tiga lagi wakil negara iaitu Mohammad Syafiq Kamal, C. Ameeshenraj dan Noor Ainaa Amani Ampandi yang tewas kepada lawan masing-masing.
Selain Rachel, tiga lagi pemain negara, Ng Eain Yow, Aifa Azman dan S. Sivasangari turut mendapat bye pada pusingan pertama dan kesemua mereka hanya akan turun ke gelanggang menentang lawan masing-masing pada pusingan kedua, esok. – UTUSAN