Ziyad tak sanggup kesilapan di Tokyo berulang

Ziyad tak sanggup kesilapan di Tokyo berulang

MUHAMMAD ZIYAD ZOLKEFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Juara olahraga para dunia, Muhammad Ziyad Zolkefli akan berjaga-jaga dengan masa ketika hari pertandingan di Sukan Para Asia Hangzhou 2022 yang akan membuka tirai 22 Oktober ini bagi mengelakkan mimpi ngeri di Tokyo berulang.

Ziyad, 33, terpaksa menelan pahit apabila dibatalkan penyertaan ketika beraksi di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, sekali gus menafikan harapannya untuk membawa pulang emas menerusi acara lontar peluru kategori F20 dari temasya itu.

Lebih mendukacitakan, catatan rekod dunia iaitu 17.94 meter (m) yang dilakar juga tidak diiktiraf.

Walaupun insiden tersebut sudah dua tahun berlalu, namun dia tekad tidak akan mengulanginya apatah lagi dia kini sedang dalam misi memburu pingat emas ketiganya di pentas Sukan Para Asia.

“Memang insiden itu banyak memberi pengajaran buat saya, malahan ia juga dijadikan peringatan untuk semua atlet para yang akan bertanding kali ini agar menepati masa ketika hari pertandingan.

“Bagi saya walaupun ia sudah berlalu, saya akan tetap mengingatinya sampai bila-bila supaya saya tidak lagi akan mengulanginya,” jelas Ziyad kepada Utusan Malaysia ketika Majlis Pelepasan Kontinjen Negara ke Sukan Para Asia Hangzhou 2022 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin.

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh melepaskan kontinjen Malaysia yang akan beraksi dalam Sukan Para Asia Hangzhou di Sepang kelmarin. – MSN

Saingan di Hangzhou juga bakal dijadikan pengubat kekecewaan buat Ziyad yang sekadar meraih pingat perak pada Kejohanan Olahraga Para Dunia, di Paris Julai lalu.

Bagaimanapun Ziyad tidak bercadang cuba memecahkan rekod dunia kerana keutamaannya kini adalah untuk membantu kontinjen Malaysia mencapai sasaran 35 pingat tanpa mengira warna.

“Dahulu memang saya sering mengikuti perkembangan para pencabar saya, tetapi lama-kelamaan saya merasakan perkara tersebut tidak bagus untuk keadaan mental saya, ia membuatkan saya cepat gemuruh dan gerun dengan mereka.

“Jadi atas dasar itu, saya sudah beberapa tahun tidak lagi mengambil tahu tentang perkembangan pencapaian para pencabar saya, dan hanya menumpukan jarak balingan saya. Jika saya berjaya memecahkan sebarang rekod, saya anggap itu bonus.

“Keutamaan saya kini adalah cuba untuk dapatkan pingat buat kontinjen Malaysia dahulu,” tambah Ziyad.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya