VANTAA: Walaupun apa pun terjadi esok, Malaysia sudah pun memastikan sekurang-kurangnya satu slot di peringkat separuh akhir Terbuka Artik 2023 setelah kejayaan tiga perseorangan lelaki negara di pusingan suku akhir hari ini.
Dalam aksi yang berlangsung di Vantaa Energia Arena, Finland sebentar tadi, perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong ternyata tidak gentar berdepan dengan jaguh Taiwan, Chou Tien Chen yang juga pilihan kelima kejohanan.
Tze Yong tenang untuk mengatasi pukulan lawannya sekaligus mencatatkan kemenangan 21-15, 21-16 dalam tempoh 50 minit.
Ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut Tze Yong ke atas pemain No. 11 Dunia itu pada tahun ini.
Tugasan lebih mencabar buat Tze Yong di suku akhir apabila dijadualkan bertemu pemain China, Lu Guang Zu pada esok.
Rakan senegara, Lee Zii Jia pula turun berdepan dengan pemain Indonesia, Chico Aura Dwi Wardoyo pula diberikan tentangan sengit.
Bagaimanapun Zii Jia lebih ampuh untuk menahan segala asakan Chico untuk mara ke pusingan seterusnya setelah melakar kemenangan 21-17, 18-21, 21-11.
Zii Jia bakal berdepan rakan senegara, Leong Jun Hao esok di suku akhir, sekaligus menjamin satu slot separuh akhir buat kem negara.
Terdahulu, Jun Hao mengalahkan pemain Perancis, Arnauld Merkle 15-21, 21-17, 21-19.
Dalam aksi beregu campuran, pasangan meningkat naik, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang turun sebagai pilihan kelima kejohanan tidak menghadapi masalah untuk menyingkirkan wakil Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet dengan keputusan 21-11, 21-10.
Malang buat beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani apabila perjalanan mereka di kejohanan disekat pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dengan keputusan 14-21, 19-21.