PETALING JAYA: Pemain perseorangan lelaki utama Malaysia, Lee Zii Jia mungkin akan menarik diri daripada menyertai Kejohanan Badminton Terbuka Perancis yang bermula, esok, akibat keletihan selepas mengharungi jadual yang cukup padat dalam Jelajah Dunia.
Selepas menyertai dua kejohanan berturut-turut iaitu Terbuka Arctic di Finland dan Terbuka Denmark yang berakhir, semalam, Zii Jia berkata, dia perlu berbincang dengan pasukannya berhubung keputusan itu sama ada dia cukup cergas untuk terus bertanding.
“Jujur saya masih 50-50 untuk menyertai Terbuka Perancis, sekarang sudah masuk minggu ketiga, badan saya semakin letih.
“Lagipun, selepas ini ada dua kejohanan besar iaitu Terbuka China dan Terbuka Jepun, jadi, penting untuk saya timbangkan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemu bual Spotv selepas perlawanan akhir Terbuka Denmark, semalam.
Pemain yang menghuni ranking No. 11 dunia itu tewas kepada pemain berada di kedudukan ke-22 dunia, Weng Hong Yang dari China 12-21, 6-21 pada final.
Kekalahan tersebut menyaksikan Hong Yang semakin melebarkan rekod pertemuan ke atas Zii Jia kepada 3-1.
Muncul sebagai naib juara, Zii Jia, 25, membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$28,900 (RM137,708) beserta pingat perak.
Mengulas mengenai pertemuan akhir menentang Hong Yang, Zii Jia mengakui, pemain itu beraksi dengan cukup baik dan tidak banyak yang boleh diperkatakan tentang perlawanan tersebut.
Jelasnya, Hong Yang bermain dengan cukup konsisten sepanjang kejohanan itu.
“Saya cuba buang jauh-jauh perasaan negatif dan berfikir lebih positif dan ia berjaya membantu permainan yang saya sedang usahakan ketika ini, saya perlu beraksi lebih konsisten,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE