VANTAA: Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia akhirnya berupaya bergelar juara semula selepas mengungguli Kejohanan Badminton Terbuka Artik 2023 hari ini.
Aksi perlawanan akhir yang berlangsung di Vantaa Energie Arena, Finland itu hari ini menemukan Zii Jia menentang rakan senegara, Ng Tze Yong.
Sejak awal permainan, Zii Jia cuba untuk menguasai perlawanan dan perancangannya berhasil apabila tidak berdepan masalah untuk memastikan kejuaraan menjadi miliknya dengan keputusan 21-14, 21-15 dalam tempoh 40 minit.
Kali terakhir Zii Jia berjaya menaiki podium sebagai juara adalah pada tahun lalu ketika menjuarai Terbuka Thailand.
Selepas ini, Zii Jia akan meneruskan siri jelajah Eropahnya dengan menyertai Terbuka Denmark yang akan bermula pada Selasa ini.