VANTAA: Bekas jaguh Asia, Lee Zii Jia kembali menemui rentak untuk mara ke separuh akhir selepas berjaya mengatasi rakan senegara, Leong Jun Hao dalam aksi suku akhir Terbuka Artik 2023 yang berlangsung di Vantaa Energie Arena, Finland sebentar tadi
Ini merupakan pertarungan adik abang dengan ranking dunia menjadi jurang pemisah antara Zii Jia dan Jun Hao.
Zii Jia yang berada di ranking ke 14 dunia mudah mengawal permainan, namun Jun Hao yang berada di tangga ke 38 dunia tidak mengalah apabila sesekali melancarkan serangan balas dan berjaya mengheret perlawanan ke set penentuan.
Malang buat Jun Hao apabila pertengahan set ketiga, dia mengadu mengalami kecederaan di kakinya dan tidak dapat meneruskan perlawanan sekaligus memberikan kemenangan buat Zii Jia dengan keputusan 21-16, 19-21, 7-11.
Ia tetap kemenangan moral buat Zii Jia memandangkan kali terakhir dia berjaya melangkah ke separuh akhir adalah ketika beraksi di Kejohanan Terbuka Australia Ogos lalu.
Turut sama melangkah ke separuh akhir adalah beregu lelaki muda negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
Pasangan No. 23 dunia ini kental menghadapi tentangan sengit wakil dari Indonesia, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan sebelum berjaya mengesahkan kemaraan dengan keputusan 22-20, 21-18.
Harapan untuk melihat satu lagi beregu lelaki negara meneruskan kemaraan ke separuh akhir tidak kesampaian apabila Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tewas.
Pilihan ketiga kejohanan itu ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dengan keputusan 21-16, 19-21, 14-21.
Terdahulu, perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong dan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut berjaya meloloskan diri ke peringkat separuh akhir esok.