VANTAA: Malaysia memastikan gelaran juara perseorangan lelaki Terbuka Artik 2023 menjadi milik kem negara setelah dua wakil, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong sah akan berentap di pentas final esok.
Zii Jia, pemain di ranking No. 14 dunia berjaya menyingkirkan pemain pilihan ketiga kejohanan, Anders Antonsen dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Vantaa Energie Arena sebentar tadi.
Pemain kelahiran Kedah itu mempamerkan aksi memberangsangkan apabila menang set pertama dengan keputusan 21-17.
Aksi di set kedua penuh dengan drama apabila pengadil secara tiba-tiba terpaksa memberhentikan perlawanan kerana mengesan ada kebocoran atap di venue sehingga menjejaskan permukaan gelangang.
Begitupun insiden itu tidak menjejaskan Zii Jia sejurus perlawanan kembali dimulakan semula.
Bagaimanapun ia kemenangan antiklimaks buat bekas jaguh Asia ini setelah Antonsen pula mengadu mengalami kesakitan di bahagian kakinya ketika kedudukan 13-8, yang menyaksikan pemain Denmark itu menarik diri dari meneruskan perlawanan.
Ini merupakan pentas final pertama Zii Jia untuk tahun ini.
Terdahulu, perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong melangkah ke final selepas menumpaskan wakil Jepun, Kanta Tsuneyama dengan keputusan 21-12, 21-16 dalam tempoh 46 minit.
Zii Jia dan Tze Yong pernah bertemu sebelum ini di Terbuka Australia Ogos lalu, yang menyaksikan keputusan memihak kepada Zii Jia.
Terdahulu, pemain beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tewas kepada wakil China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dengan keputusan 21-17, 13-21, 14-21.