PETALING JAYA: Kebangkitan prestasi Wan Zack Haikal Wan Noor bersama Perak FC musim ini mula mendapat perhatian apabila bekas pemain kebangsaan itu mula ‘dirisik’ beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M).
Biarpun sudah berusia 32 tahun, namun pemain sayap itu membuktikan dirinya masih mampu mencabar kedudukan dalam pasukan selepas menghasilkan empat gol dan empat bantuan gol dalam 21 perlawanan bersama Perak musim ini.
Malah, Wan Zack yang mendapat kepercayaan jurulatih, Yusri Che Lah turut merekod satu gol ketika mereka membenam Kelantan FC 8-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, kelmarin.
Justeru tidak hairan apabila ada beberapa pasukan sudah menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat bekas pemain kelab Jepun, FC Ryukyu itu untuk saingan pada musim depan.
“Alhamdulillah ada juga pasukan bertanyakan kontrak saya dengan Perak. Saya menghormati kontrak dengan Perak yang berbaki lagi beberapa bulan dan sehingga kini saya belum buat apa-apa keputusan.
“Saya juga masih menunggu keputusan daripada pihak pengurusan Perak (tentang kontrak),” katanya.
Wan Zack Haikal kurang mendapat tempat ketika Perak FC dibimbing oleh Datuk Lim Teong Kim, namun dia menebus kepercayaan yang diberikan pihak pengurusan apabila Yusri mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih.
“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Yusri kerana selalu beri saya peluang dan kata-kata semangat untuk saya berusaha mencari prestasi sebenar saya.
“Dengan beberapa baki perlawanan, kami ingin kutip mata maksimum untuk perbaiki kedudukan Liga Super. Kami juga ada lagi satu perlawanan penting menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia.
“Meskipun misi sukar tapi sebagai pemain kami kena terus berusaha selagi permainan belum berakhir,” katanya.-UTUSAN ONLINE