MANCHESTER: Pengurus Brentford, Thomas Frank tidak pasti apakah sekarang waktu terbaik untuk menentang Manchester United apabila kedua-dua berentap dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford hari ini.
Red Devils yang dibimbing Erik ten Hag berada dalam krisis prestasi selepas diaibkan 2-3 oleh Galatasaray dalam aksi Liga Juara-Juara di laman sendiri kelmarin.
Kekalahan itu bermakna mereka mengharungi permulaan musim terburuk dalam tempoh 39 tahun kerana ia hadir hanya empat hari selepas mereka tewas 0-1 kepada Crystal Palace pada saingan EPL, juga di laman sendiri.
Frank sedar perlawanan hari ini akan memberi tekanan besar kepada United untuk mencatat kemenangan tetapi Brentford sendiri berdepan cabaran cuba menamatkan badi kekalahan di Old Trafford sejak Februari 1937.
“Ketika ini mereka amat terdesak untuk bangkit dan akan melakukan segala apa sahaja.
“Bagaimanapun United adalah kelab besar, dan tekanan akan selalu ada buat mereka untuk memenangi setiap perlawanan.
“Saya tidak rasa akan ada perbezaan jika mereka belum beraksi di tahap terbaik.
“Saya sering meragui jika anda berentap dengan sebuah pasukan hebat dalam keadaan momentum mereka kurang bagus, apakah keadaan itu akan menjadi buruk atau sebaliknya?
“United pasukan hebat, dipimpin pengurus yang bagus dan memiliki ramai pemain menakjubkan.
“Ia akan menjadi cabaran besar buat kami kerana mereka mampu menjadi seperti ‘singa lapar’ tapi kami ke sana dengan semangat tinggi,” kata Frank.
Brentford juga dalam keadaan bermasalah apabila hanya mencatat satu kemenangan musim ini dan menduduki tangga ke 14 liga. – AGENSI