PETALING JAYA: Sebutir pingat gangsa yang disumbangkan pasukan compound lelaki menjadi penawar buat kem memanah yang menutup kempen Sukan Asia 2022 di Pusat Sukan Fuyang Yinhu, Hangzhou hari ini.
Trio Juwaidi Mazuki, Alang Ariff Aqil Muhammad Ghaz dan Syafiq Md. Ariffin menundukkan gandingan Taiwan, Chang Cheng Wei, Chen Chieh Lun, Yang Cheng Jui 228-208 untuk menghadiahkan pingat tunggal buat sukan memanah dalam edisi ke-19 temasya.
Keputusan itu mengulangi pencapaian di Palembang/Jakarta, lima tahun lalu yang menyasikan memanah turun pulang bersama sebutir gangsa.
Dalam saingan sebelah pagi, Malaysia menumpaskan trio Iran, Mohammadsaleh Palizban, Armin Pakzad dan Milad Rashid 227-221 di suku akhir.
Bagaimanapun, hasrat mereka untuk mara ke final disekat trio Korea Selatan, Joo Jaehoon, Yang Jaewon dan Kim Jongho yang meraih kemenangan tipis 232-230 ke atas gandingan negara. – UTUSAN