PETALING JAYA: Tiga pemain perseorangan negara mara ke peringkat suku akhir pada temasya Sukan Para Asia Hangzhou 2022 selepas menang ke atas lawan masing-masing di pusingan 16 terbaik hari ini.
Bagi acara kerusi roda WH1 (kecatatan kedua-dua kaki), Muhammad Ikhwan Ramli, 27, berjaya menumpaskan wakil India, Prem Kumar Ale dalam pertarungan straight set, 21-18, 21-12.
Kemenangan itu menyaksikan Muhammad Ikhwan yang berkedudukan di No.4 dunia akan menentang wakil Jepun, Keita Nishimura di suku akhir esok dan permtembungan sengit dijangka berlaku memandang Nishimura berada di ranking No.6 dunia.
Sementara itu, bagi acara SU5 (berdiri/kemerosotan anggota badan atas), dua pemain harapan negara layak ke suku akhir iaitu Cheah Liek Hou dan Muhammad Fareez Anuar.
Liek Hou, 35, selaku pilihan utama menepati ramalan dan menang mudah ke atas pemain Vietnam, Pham Van Toi, 21-9, 21-7 untuk ke pusingan lapan terbaik
Dalam pada itu, Fareez terpaksa berhempas pulas menundukkan atlet Indonesia, Ragupathi Ruthick dalam pertarungan tiga set 17-21, 21-10, 21-17 untuk ke suku akhir.- UTUSAN ONLINE