PETALING JAYA: Insiden air bertakung dan ‘penyodok’ tidak akan lagi mencemari Stadium Nasional, Bukit Jali (SNBJ), namun harga yang perlu dibayar bagi memastikan semuanya ‘cantik’ juga tidak murah dengan kos penyelenggaraan padang mencah sehingga RM4.7 juta.
Semalam, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim merasmikan padang baharu Stadium Nasional yang ditanam dengan rumput Zeon Zoysia dan bersedia digunakan buat kali pertama dalam Pestabola Merdeka malam ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, biarpun ibu negara dilanda hujan lebat sejak beberapa hari ini, namun tiada takungan air berlaku di SNBJ seperti sebelum ini, dan insiden ‘penyodok’ terpaksa digunakan untuk membuang air tidak akan berulang.
Seterusnya, Hannah menyerahkan kepada pengendali skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan Gon dan barisan pemainnya untuk memberi maklum balas terhadap kualiti padang baharu di stadium ‘keramat’ Harimau Malaya itu apabila berdepan India dalam Pestabola Merdeka malam ini.
“Betul (tiada lagi takungan air), seperti yang anda saksikan dalam video. Sebelum mereka tanam rumput, ada proses penggalian dan kos itu agak tinggi untuk kita selesaikan masalah.
“Semalam pun hujan, pihak PSM (Perbadanan Stadium Malaysia) memantau pastikan tiada masalah ini. Kalau bagi saya, (nampak) hijau memang cantik tetapi pemain bola sepak ada komen masing-masing,” katanya semalam.
Kata Hannah kerja-kerja penggalian membaik putih sistem saliran di kawasan padang telah dilakukan oleh pihak PSM sebelum penanaman rumput baharu.
“Selain itu, kerja-kerja menaik taraf padang, struktur dan tapak semaian pula melibatkan kos sebanyak RM4.7 juta yang mengambil kira penyelenggaraan padang selama setahun (sehingga 30 September 2024), pembelian mesin, pemasangan laluan paip baharu dan kabel elektrik,” kata Hannah.