PARIS: Penolong jurulatih Ireland, Mike Catt menafikan dakwaan pasukannya akan bersekongkol dengan Scotland bagi memastikan Afrika Selatan gagal ke suku akhir Ragbi Piala Dunia.
Ketiga-tiga pasukan itu berkemungkinan berkongsi mata apabila saingan Kumpulan B berakhir hujung minggu ini.
Jika Scotland menewaskan Ireland dengan 21 mata atau lebih, mereka akan muncul juara kumpulan, manakala Ireland layak ke suku akhir selaku naib juara mengikut peraturan rekod pertemuan.
Ireland sebelum ini menewaskan Afrika Selatan 13-8.
Begitupun, ia adalah misi sukar buat Scotland kerana mereka tidak pernah menewaskan Ireland sejak 2017, malah gagal menghampiri kutipan 20 mata sepanjang pertembungan kedua-dua pasukan sejak 2001.
Bagaimanapun Ketua Jurulatih Afrika Selatan, Jacques Nienaber mendakwa kedua-dua pasukan tersebut akan mengatur perlawanan.
“Tidak, kami tidak akan bersekongkol dengan Scotland.
“Saya tidak tahu apa yang hendak dikatakan tentang itu. Perkara itu hanyalah spekulasi tanpa bukti umpama bunyi di belakang,” kata Catt.
Tegas Catt adakah Ireland dengan mudah akan membenarkan Scotland mendapat 21 mata dalam perlawanan itu tanpa memberi saingan.
“Anda tanyalah kepada mana-mana pemain dalam bilik ini atau mana-mana daripada kami, adakah anda mahu Scotland menewaskan kami dengan 21 mata? Tidak,” jelasnya.
Walaupun sudah lebih setengah dekad sejak kali terakhir Scotland menewaskan Ireland, pasukan No. 1 dunia itu tidak mengambil mudah lawan terakhir mereka dalam Kumpulan B.
Kelmarin, Afrika Selatan mengalahkan Tonga 49-18 untuk menghuni tangga teratas kumpulan ketika ini. – AGENSI