PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak pernah mencampuri urusan pemilihan barisan kepimpinan mana-mana persatuan sukan di negara ini, tegas menterinya, Hannah Yeoh.
Perkara itu ditegaskan oleh Hannah selepas mesyuarat Ahli Majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebulat suara memilih Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai pengganti kepada presiden ketika ini, Tan Sri Mohammad Norza Zakaria.
“KBS tiada masalah jika Tengku Zafrul dipilih mengetuai BAM kerana itu keputusan persatuan sukan kebangsaan. Kami tidak masuk campur dalam pemilihan ahli jawatankuasa badan sukan masing-masing,” kata Hannah selepas majlis penyerahan hadiah kemenangan berbentuk jam tangan pintar kepada pemenang pingat di Sukan Asia Hangzhou oleh Huawei, hari ini.
Hannah berharap kepimpinan baharu BAM akan terus memberi kerjasama rapat kepada jawatankuasa Road To Gold (RTG) dalam persiapan ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.
“Siapa saja yang mereka pilih, Majlis Sukan Negara (MSN) akan bekerjasama kerana paling penting adalah kebajikan atlet dan pembangunan sukan berjalan lancar. Saya harap pimpinan baru akan bekerjasama dengan jawatankuasa RTG untuk kita sama-sama lihat bagaimana prestasi pemain badminton boleh dipertingkatkan untuk ke Olimpik,” katanya.
Hannah turut menegaskan bahawa pihaknya sentiasa komited dalam meningkatkan prestasi atlet badminton negara dalam persiapan menghadapi temasya empat tahun sekali itu.
Terdahulu, pelantikan Tengku Zafrul akan dimuktamadkan pada Mesyuarat Agung BAM pada Disember ini bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang tamat tempoh kepimpinannya pada Disember ini. – UTUSAN