PETALING JAYA: Impian untuk menyaksikan skuad sepak takraw mengejutkan Thailand di pentas final acara regu di Sukan Asia Hangzhou tidak menjadi kenyataan apabila trio negara tumpas 15-21, 19-21, sebentar tadi.
Kekalahan kepada musuh tradisi itu juga menyaksikan anak-anak buah Ahmad Jais Baharun gagal mempertahankan pingat emas yang dimenangi mereka pada edisi 2018 di Palembang/Jakarta.
Pada aksi final di Gimnasium Pusat Sukan Jinhua itu, Ahmad Jais menurunkan Mohamad Azlan Alias, Amirul Zazwan Amir dan Muhammad Zarif Marican yang kemudiannya digantikan oleh Syahir Rosdi.
Sementara itu, Thailand pula meletakkan kepercayaan kepada trio Pichet Pansan, Pattarapong Yupadee dan tekong berbisa mereka, Sittipong Khamchan.
Pada awal set pertama, Malaysia nampak boleh mengimbangi kehebatan lawan dengan mata terikat 11-11 pada satu ketika sebelum Thailand menang 15-21 dalam masa 28 minit.
Bersambung set kedua, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi yang sengir dengan Malaysia beberapa kali berada di hadapan namun, terpaksa akur tewas 19-21.
Keputusan itu menyaksikan skuad sepak takraw negara menamatkan kempen di Sukan Asia Hangzhou dengan membawa pulang dua pingat perak.-UTUSAN