PARIS: Pemain flyhalf Afrika Selatan, Handre Pollard tiada dalam skuad awal Springboks di Piala Dunia kerana kecederaan tetapi dipilih untuk berdepan New Zealand pada perlawanan akhir hari ini.
Pollard membarisi skuad emas Afrika Selatan yang memenangi kejuaraan dunia di Jepun, empat tahun lalu.
Begitupun sejak awal kejohanan di Perancis, tempatnya diganti oleh Malcolm Marx gara-gara kecederaan.
Kini, selepas berehat panjang, pemain berusia 29 tahun itu bersedia untuk kembali dengan misi membantu Springboks merangkul gelaran dunia kedua berturut-turut dan keempat keseluruhan.
Ketepatan Pollard dalam melakukan tendangan adalah senjata yang amat diperlukan oleh Afrika Selatan dalam perlawanan akhir nanti.
“Final Piala Dunia tidak semestinya saingan yang paling menakjubkan. Kalau anda menonton perlawanan lalu, anda boleh nampak ia sentiasa berlangsung ‘ketat’ dan suka.
“Untuk aksi hujung minggu ini, terdapat kemungkinan 60 peratus perlawanan akan berlangsung dalam keadaan hujan, sama ada sebelum atau ketika ia berlangsung.
“Jadi, dalam situasi seperti itu, kami memerlukan semua pemain berfungsi dan memainkan peranan mereka dengan sebaik mungkin.
“Ketepatan pemain mengambil tendangan sangat penting, malah ia sebenarnya bahagian paling penting dalam perlawanan, jadi Handre mampu menjadi senjata kami,” kata Ketua Jurulatih Afrika Selatan, Jacques Nienaber.
Itu adalah rancangan yang disediakan untuk Pollard, yang mengakui sekarang adalah waktu paling genting sejak menjulang Piala Dunia 2019.
“Kami mengharungi empat tahun yang menarik. Terdapat banyak pasang surut, dengan Covid dan kecederaan yang mengganggu permainan saya.
“Sekarang, saya mahu mengetepikan semua itu. Apabila diberi peluang kembali, saya mahu menyerap segala tenaga positif,” kata Pollard. – AGENSI