PETALING JAYA: Sukan Asia Hangzhou secara rasminya melabuhkan tirai malam ini dengan majlis penutupan dianjurkan dengan cukup meriah oleh tuan rumah di Stadium Olimpik Hangzhou, sebentar tadi.
Majlis penutupan itu memberi fokus kepada pengorbanan para atlet dalam usaha mengejar impian mereka dan berterima kasih kepada sukarelawan yang membantu dalam penganjuran temasya empat tahun sekali itu.
Pada majlis itu, jaguh karate negara, Muhammad Arif Afifudin Ab Malik yang memenangi emas dalam acara kumite bawah 84kg lelaki membawa Jalur Gemilang untuk mengetuai 40 serta pegawai kontinjen Malaysia masuk ke stadium.
Malaysia yang diwakili 288 atlet dalam 22 daripada 40 sukan yang dipertandingkan, menduduki tempat ke-14 dengan enam emas, lapan perak dan 18 gangsa untuk mengumpul keseluruhan 32 pingat, melepasi sasaran 27 pingat yang ditetapkan.
China meneruskan penguasaan sebagai juara keseluruhan Sukan Asia sejak 1982 apabila memenangi 201 emas, 111 pingat perak dan 71 gangsa.
Tuan rumah edisi seterusnya Jepun pula menduduki tempat kedua dengan 52 emas, 67 perak dan 69 gangsa, diikuti Korea Selatan 42 emas, 59 perak, dan 89 gangsa di tempat ketiga.
Penonton pada majlis tersebut penutupan itu juga disajikan dengan persembahan kebudayaan dari Jepun yang akan menganjurkan Sukan Asia ke-20, yang dikenali sebagai Aichi-Nagoya 2026.
Dalam pada itu, perenang China, Qin Haiyang dan Zhang Yufei yang masing-masing memenangi enam pingat emas, dianugerahkan Pemain Paling Bernilai (MVP) Sukan Asia Hangzhou.- UTUSAN