SEPANG: Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) menyifatkan pencapaian barisan pemainnya membawa pulang tiga pingat emas, satu perak dan satu gangsa adalah yang terbaik dalam Kontinjen Malaysia pada Sukan Asia di Hangzhou, China.
Pengurus pasukan, Nafzahizam Adnan berkata, malah, pencapaian tersebut hampir menyamai prestasi cemerlang penampilan skuad negara pada temasya di Guangzhou, 13 tahun lalu, yang menyaksikan Malaysia menggondol tiga emas, satu perak dan dua gangsa.
“Di Hangzhou, kita dapat tiga emas, satu perak, satu gangsa, kalau ikutkan sasaran dua emas, dua perak, satu gangsa.
“Sejak skuasy diperkenal pada 1998 dalam Sukan Asia, (penampilan) ini juga yang paling bagus sama seperti di Guangzhou 2010, kita dapat
tiga emas, satu perak, dua gangsa, masa itu tak ada beregu campuran, hanya berpasukan dan perseorangan.
“Persediaan lima tahun lalu itu menunjukkan hasil, malah, penangguhan Sukan Asia sebab Covid-19 pada tahun lalu juga membolehkan kita menyusun semula perancangan dan ia ternyata menjadi lebih baik,” katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Hangzhou, China, semalam.
Beliau yang juga Setiausaha Kehormat SRAM memberitahu, secara keseluruhan pihaknya amat berpuas hati dengan persembahan para pemain yang rata-ratanya masih muda kecuali Ivan Yuen.
Jelas Nafzahizam, pasukan yang diterbangkan ke Hangzhou merupakan barisan pemain yang telahpun dipersiapkan sejak penampilan Malaysia pada Sukan Asia di Indonesia, lima tahun lalu.
“Jika dibandingkann dengan pencabar terdekat kita seperti India dan Hong Kong, pemain-pemain kita lebih muda dan mereka ini masih boleh main lagi pada temasya akan datang di Nagoya, Jepun pada 2026,” ujarnya.
Tambah beliau, untuk acara beregu campuran yang membawa pulang pingat perak menerusi Mohammad Syafiq Kamal-Aifa Azman, harapan mereka untuk muncul selaku gandingan terbaik juga cukup cerah pada temasya akan datang.
Malah, menurut Nafzahizam, Persatuan Skuasy Asia (ASF) serta Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) juga ada meminta SRAM menganjurkan kejohanan beregu pada tahun depan.
Sementara itu, mengulas mengenai perancangan SRAM selepas ini, beliau berkata, pihaknya memang sentiasa bergerak aktif bagi memastikan progam bakat muda dengan kerjasama Yayasan CIMB benar-benar berjaya untuk melahirkan lebih ramai pemain profesional.