PETALING JAYA: Dengan kebanyakan stadium di negara ini bukan ‘kelas pertama’, manakala standard skuad kebangsaan tidak berada di tahap ‘dunia’, tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) enggan menyertai Indonesia dan Australia untuk membida hak tuan rumah Piala Dunia 2034 adalah amat tepat.
Bekas pemain kebangsaan, Lim Chan Yew berkata, biarpun skuad Harimau Malaya sekarang menunjukkan peningkatan di bawah bimbingan Kim Pan Gon, namun sebahagian besar pemain itu mungkin tidak lagi beraksi 11 tahun dari sekarang.
Katanya, Malaysia perlu menunjukkan peningkatan berterusan dan memiliki kelompok pemain yang benar-benar boleh bersaing di peringkat tertinggi jika menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia itu.
Selain faktor pemain, kemudahan stadium di negara ini juga belum membolehkan mereka menganjurkan kejohanan besar, kecuali kerajaan sanggup melaburkan jutaan ringgit.
Rabu lalu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menegaskan, Malaysia kekal dengan pendirian memberi sokongan kepada Arab Saudi untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034, dan tidak pernah berunding dengan Indonesia.
“Harimau Malaya memang sedang meningkat ketika ini tetapi itu sekarang. Dalam enam, tujuh tahun akan datang kita tak tahu sama ada Kim Pan Gon masih bersama Malaysia atau adakah jurulatih baharu lebih gemar gunakan pemain warisan dan tempatan.
“Selepas Kim Pan Gon, adakah Malaysia masih mampu ke Piala Dunia. Jika layak, kemudian kita main sampai tahap mana. Adakah sekadar peringkat kumpulan? Dengan sumber kita ada sekarang pun, saya rasa ia cerita berbeza untuk bercakap tentang Malaysia layak ke Piala Dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengenai fasiliti untuk menganjurkan kejohanan itu, Chan Yew dengan format Piala Dunia yang kini dibuka kepada 48 perlawanan, Malaysia perlu memiliki lebih daripada satu atau dua stadium bertaraf dunia.
“Kalau Malaysia jadi tuan rumah bermakna ada tiga negara atau empat, jadi kita mungkin kena pakai tiga stadium sebab ada 48 pasukan. Kita ada SNBJ (Stadium Nasional, Bukit Jalil), SSI (Stadium Sultan Ismail, Iskandar Puteri), dua stadium ini terbaik di peringkat ASEAN.
“Tetapi kita bercakap tentang 10 tahun akan datang. Kalau kita bina stadium baharu, lokasinya di mana? Adakah di Selangor, yang baru nak dibina itu?
“Bagi saya apa yang FAM buat (tolak pelawaan) tepat sebab mereka sedar, Malaysia belum berkemampuan.
“Katakan Brazil dan Argentina datang, kita nak beri padang yang mana? Bila anjurkan Piala Dunia, kita akan tarik pelancong, itu sumber ekonomi negara. Bukan itu saja, setiap pemain akan bawa ahli keluarga, jadi mereka perlukan hotel bertaraf enam bintang,” katanya.