PETALING JAYA: Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal mahu skuad remaja negara memanfaatkan peluang beraksi di Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 bermula Sabtu ini sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja pada Disember.
Saingan di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru bakal menjadi kayu pengukur kemampuan barisan anak buah Amin Abdul Rahim memandangkan hampir kesemua pasukan yang menyertai Piala Dunia Remaja akan bersaing di SOJC kecuali Great Britain.
Antaranya adalah finalis Piala Dunia Remaja 2018, Jerman, Australia, India, New Zealand, Pakistan dan Afrika Selatan.
“Saya amat berterima kasih kepada Persatuan Hoki Johor kerana menganjurkan SOJC hujung minggu ini. Semua pasukan terbaik dunia akan bermain di sana kecuali GB (Great Britain) sahaja yang tak layak Piala Dunia Remaja.
“Ini peluang untuk barisan kejurulatihan menganalisis kekuatan lawan-lawan kerana mereka datang ke sini (SOJC) untuk menyesuaikan diri dengan faktor cuaca.
“Sebagai presiden, sudah pasti saya nak berikan yang terbaik tetapi dalam masa sama saya mahu mereka belajar sebanyak mungkin untuk persediaan terakhir ke Piala Dunia Remaja nanti,” jelas Subahan ketika Majlis Perjanjian Pesefahaman Bersama stesen radio HotFM dan Kool 101 di Bukit Jalil semalam.
Kali terakhir skuad hoki remaja negara muncul juara SOJC adalah ketika edisi 2011 setelah menumbangkan Australia di pentas final.- UTUSAN ONLINE