Skuasy tidak pernah mengecewakan Malaysia

Skuasy tidak pernah mengecewakan Malaysia

AIFA Azman meraikan kejayaan menumpaskan pemain Hong Kong, Chan Sin Yuk 11-5, 11-8, 11-13, 11-8, sekali gus mengesahkan pingat emas buat Malaysia dalam skuasy berpasukan wanita Sukan Asia 2022 di Hangzhou semalam. - BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menghadiahkan pingat emas buat negara dalam Sukan Asia selepas berdepan detik sukar tahun lalu memberi makna besar buat bintang skuasy negara, S. Sivasangari.

Semalam, pasukan wanita negara memastikan penguasaan Malaysia apabila menghadiahkan emas ketiga buat kontinjen negara di Hangzhou selepas menumpaskan Hong Kong 2-1.

Emas tersebut bukan sekadar yang ketiga buat Kontinjen Malaysia pada temasya kali ini, malah, ke-12 dihadiahkan skuasy sejak sukan itu dipertandingkan pada Sukan Asia 1998.

Sivasangari berkata, dia bersyukur kerana masih dapat beraksi di peringkat tertinggi selepas terbabit dengan kemalangan jalan raya tahun lalu.

“Setiap orang mempunyai kesukaran dan cabaran masing-masing, untuk saya adalah kembali selepas terbabit kemalangan.

“Setahun lalu, saya tidak menyangka akan berada di sini. Beraksi di Sukan Asia bersama rakan sepasukan adalah perkara yang amat saya syukuri,” kata anak kelahiran Kedah itu, yang baru kembali beraksi Februari lalu.

PEMAIN Malaysia meraikan kejayaan memenangi pingat emas berpasukan wanita Sukan Asia 2022 bersama ketua kontinjen, Datuk Chong Kim Fatt (belakang, tengah) dan pegawai skuasy negara selepas mengalahkan Hong Kong dalam perlawanan akhir di Hangzhou semalam. – BERNAMA

Dalam aksi di Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, kem negara cemas setelah Rachel Arnold tumpas kepada pemain berpe­ngalaman Hong Kong, Tong Tze Wing 11-7, 7-11, 11-8, 8-11, 6-11.

Ketinggalan 0-1, Sivasangari yang menggalas tanggungjawab berat bangkit mengikat Hong Kong 1-1 selepas mudah menewaskan Tomato Ho Tze Lok ­11-5, 11-8, 11-6.

Aifa Azman, 21, yang membawa misi melengkapkan kemena­ngan Malaysia, melunaskan amanah tersebut apabila menundukkan Chan Sin Yuk 11-5, 11-8, 11-13, 11-8 dalam masa 36 minit.

Kemenangan ke atas seteru lama, Hong Kong itu juga me­nyaksikan Malaysia memperbaiki pencapaian di Indonesia setelah membawa pulang gangsa.

Apa yang lebih manis, pingat emas itu juga merupakan hadiah paling indah buat pemain remaja Malaysia, Aira Azman yang menyambut hari lahir ke-19 tahun kelmarin.

Sebaik sahaja berakhir acara berpasukan, skuasy yang menawarkan lima pingat emas pada temasya kali ini akan memulakan acara perseorangan lelaki dan wanita serta beregu campuran yang membuka tirai pertandingan, hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya