PETALING JAYA: Jaguh skuasy negara, S. Sivasangari melepasi aksi amat mendebarkan di Hangzhou hari ini untuk menghadiahkan pingat emas keempat buat kontinjen Malaysia dalam Sukan Asia 2022 sebentar tadi.
Pembawa Jalur Gemilang dalam upacara pembukaan itu mengetepikan cabaran hebat bintang Hong Kong, Chan Sin Yuk 8-11, 15-13, 10-12, 11-9, 12-10 dalam perlawanan yang berlangsung lebih sejam untuk memastikan pingat emas perseorangan wanita kekal milik Malaysia buat kali kelima berturut-turut.
Sejak skuasy diperkenalkan di Bangkok pada 1998, Datuk Nicol David membolot lima daripada enam emas yang ditawarkan, dan hanya sekali Rebecca Chiu dari Hong Kong berjaya memecah dominasi Malaysia pada 2002.
Kemenangan Sivasangari itu juga menyaksikan dia berjaya membalas dendam di atas kekalahannya kepada Sin Yuk pada final Kejohanan Asia di Hong Kong, Jun lalu.
Dalam aksi terdahulu, beregu campuran, Mohammad Syafiq Kamal-Aifa Azman yang diletakkan sebagai pilihan kedua tewas kepada pilihan pertama, Harinder Pal Singh Sandhu-Dipika Pallikal Karthik dari India 10-11, 10-11 dalam perlawanan akhir.
Kekalahan itu menyaksikan pasangan negara membawa pulang pingat perak dalam acara beregu campuran yang kali pertama dipertandingkan dalam Sukan Asia. – UTUSAN