PETALING JAYA: Legenda bola sepak negara, Khalid Ali mendedahkan keadaannya ketika ini kurang baik selepas sel-sel kanser sudah mula merebak ke bahagian kepala.
Pada Mac lalu, Khalid, 66, disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat dan sejak itu, tahap kesihatannya mula merosot dan perlu menjalani rawatan berkala.
Menurut Khalid, beliau kini sedang menjalani proses rawatan kemoterapi dan radioterapi untuk memastikan tahap kesihatan berada dalam keadaan baik.
“Sejak Mac lalu, saya disahkan menghidap kanser dan sekarang sudah berada di tahap empat, apa yang saya buat sekarang adalah kemoterapi, radioterapi, CT scan dan juga brain scan.
“Saya dah tiga kali buat radioterapi di bahagian kepala dan Alhamdulillah saya rasa tenang, minggu depan akan buat brain scam untuk periksa keadaan.
“Mungkin minggu depan saya mula buat radioterapi selama 33 kali dalam masa sebulan,” katanya ketika berkongsi keadaannya ketika ini kepada media kelmarin.
Menurut Khalid, buat masa ini, doktor yang merawatnya tidak memberitahu apa-apa mengenai keputusan rawatan kecuali berpesan kepadanya untuk bersabar dan terus menjalani rawatan.
“Apa yang doktor cakap adalah untuk rehat dan banyakkan bersabar serta teruskan rawatan, dia tak beritahu akan pulih dalam masa terdekat kerana proses itu agak lama.
“Insya-Allah, dengan sedikit kekuatan yang saya ada kemungkinan akan ada perubahan kelak.” katanya yang turut menyatakan penyakit yang dialami itu membuatkannya lemah dan tiada selera makan.
Berkongsi lebih lanjut tentang keadaannya selepas disahkan menghidap kanser, Khalid berkata, beliau juga mempunyai kesukaran untuk tidur dan sentiasa terjaga sehingga tujuh kali pada setiap malam.
Dalam pada itu, Khalid bersyukur ramai yang memberikan sokongan kepadanya dan mendoakan dirinya termasuk keluarga, rakan-rakan dan juga para peminat.
Khalid yang beraksi di posisi tengah merupakan bekas pemain Harimau Malaya pada era 1970-an dan pencapaian terbaiknya adalah membantu Malaysia layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow, Russia.