Sang Penyu nyaris diaibkan Stallion Laguna

Sang Penyu nyaris diaibkan Stallion Laguna

PEMAIN Terengganu FC, Nik Sharif Haseefy Mohd. Lazim (kiri) cuba melepasi dua pertahanan lawan ketika membantu pasukannya menentang kelab Filipina, Stallion Laguna dalam aksi Piala AFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) nyaris diaibkan kelab Filipina, Stallion Laguna apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk seri 2-2 dalam aksi Piala AFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak di sini, hari ini.

Keputusan itu membolehkan TFC kekal di tempat kedua mengumpul lima mata dalam Kumpulan G selepas Central Coast Marriners membenam Bali United 6-3 dalam perlawanan berasingan.

Pintu gol Sang Penyu dibocori seawal minit ketujuh menerusi sepakan percuma Griffin McDaniel menewaskan penjaga gol negara, Mohd. Suhaimi Husin yang sekadar terkaku di kawasannya.

Tersentak dengan jaringan itu, TFC mula merencana gerakan melalui percubaan leret ketua pasukan, Habib Haroon minit ke-12 dan Sony Norde minit ke-28 namun dihalang pertahanan lawan.

Peluang terbaik Sang Penyu hadir menerusi bek tengah, Shahrul Nizam Roshasni apabila bola tolakannya berpunca sepakan sudut Norde dikeluarkan di atas garisan gol minit ke-29.

Anak-anak buah Tomislav Steinbruckner terus menambah tekanan setelah Habib melakukan larian solo minit ke-35 sebelum rembatannya ditepis penjaga gol lawan, Hayeson Pepito.

Keghairahan TFC menyerang dihukum Ngong Sam Stephen yang menyambar bola muntah hasil percubaan awal Diego Trujillo untuk gol kedua pelawat pada minit ke-40.

Sang Penyu akhirnya berjaya menembusi pintu gol Stallion Laguna dalam masa tambahan melalui Norde yang menyudahkan gerakan menarik Ivan Mamut dari sebelah kanan.

Bersambung babak kedua, TFC meneruskan tekanan namun tandukan Mamut (m-53) berpunca umpanan Norhakim Hassan ditepis disusuli percubaan Norde seminit kemudian sekadar lemah ke dakapan penjaga gol.

Penyerang gantian, Adisak Kraisorn muncul penyelamat maruah TFC selepas menanduk hantaran Norde dalam masa kecederaan sebelum pengadil, Ali Reda dari Lubnan menamatkan aksi dengan kedudukan 2-2. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN