PETALING JAYA: Sabah FC meneruskan momentum kemenangan dan lebih manis mencatat jaringan besar di laman lawan selepas membelasah PSM Makassar 5-0 di Stadium Kapten I Wayan Dipta, di Bali, Indonesia sebentar tadi.
Keputusan itu merekodkan kemenangan kedua berturut-turut dalam Kumpulan H selepas menundukkan kelab Singapura, Hougang United 3-1 di Stadium Likas sebelum ini.
Kejayaan meraih tiga mata penuh itu meletakkan skuad Sang Badak menerajui kumpulan dengan enam mata.
Pesta gol anak buah Datuk Ong Kim Swee ke atas bekas juara Liga 1 Indonesia pada musim lalu bermula seawal minit keenam menerusi tandukan Darren Lok yang menyempurnakan hantaran Saddil Ramdani.
Pasukan pelawat menggandakan jaringan menerusi Gabriel Peres yang mudah menanduk gol kedua Sabah pada minit ke-36 untuk mengakhiri babak pertama dengan kelebihan 2-0.
Bersambung babak kedua, Sang Badak terus mengganas apabila Darren Lok menambah gol kedua peribadinya seminit permainan bersambung.
Lebih malang, tuan rumah terpaksa bermain 10 pemain selepas penjaga gol, Reza Arya Pratama dilayangkan kad merah selepas menghalang larian Saddil pada minit ke-57.
Kelebihan itu dimanfaatkan Sabah dengan meraih gol keempat menerusi sepakan percuma Stuart Wilkin pada minit ke-73, sebelum Farhan Roslan melengkapkan kemenangan bergaya pelawat sebelum wisel penamat perlawanan ditiup.-UTUSAN