RHB Lekas Highway Ride 2023 terima sambutan meriah

RHB Lekas Highway Ride 2023 terima sambutan meriah

PARA peserta memulakan acara kayuhan RHB Lekas Highway Ride 2023 di Plaza Tol Kajang Selatan malam tadi. - FOTO: IHSAN GOSPORTZ SDN. BHD.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Edisi kelapan RHB Lekas Highway Ride 2023 yang berakhir semalam terus menjadi tarikan utama penggemar sukan berbasikal apabila ia kekal menjadi acara kayuhan terbesar di Malaysia yang dianjurkan pada waktu malam.

Kayuhan yang bermula di Plaza Tol Kajang Selatan dan berakhir di Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) E21 itu mendapat sambutan luar biasa daripada lebih 6,000 peserta yang mengambil bahagian dalam keseluruhan 14 kategori dipertandingkan.

Jumlah penyertaan itu mengatasi jumlah 5,600 penyertaan bagi edisi tahun lalu selain turut berjaya menarik penyertaan lebih 30 negara termasuk dari Jerman, Jepun, Perancis, Korea Selatan, Australia, Amerika Syarikat (AS), Singapura dan Brunei.

Penyertaan menggalakkan itu memberikan gambaran jelas lebih ramai peserta akan mengambil bahagian dan tidak mustahil mampu melebihi angka 7,000 pada edisi kesembilan tahun depan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Mohd. Rashid Mohamad berkata, penganjuran kali ini membuktikan perpaduan semangat antara penunggang basikal, bukan sekadar jumlah peserta paling ramai.

“Edisi tahun ini juga memperkenalkan kategori baharu untuk penunggang basikal wanita bagi kategori veteran, sekali gus mengingatkan kita bahawa semangat tidak mempunyai batas,” katanya dalam satu kenyataan.

Keunikan saingan kali ini turut melibatkan penyertaan penuh inspirasi 20 Orang Kelainan Upaya (OKU) daripada Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dalam kategori 22 kilometer (km).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Lee Chun Fai berkata, pihaknya amat berbangga kerana kembali menjadi penaja lokasi bagi acara kayuhan berbasikal lebuh raya nombor satu pada sebelah malam itu.

“Apa yang lebih bermakna adalah penganjuran kali ini turut membabitkan penyertaan 20 peserta OKU menghayati semangat perpaduan dan menguji had mereka berlumba di sepanjang lebuh raya.

“Saya juga ingin merakam penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana memastikan penganjuran ini berjalan lancar. Tahniah kepada semua peserta kerana berkongsi cita-cita menyempurnakan acara ini,” jelasnya.

14 kategori dipertandingkan ialah 120km terbuka lelaki dan wanita; 120km terbuka veteran lelaki; 120km terbuka korporat; 78km terbuka lelaki dan wanita; 78km terbuka veteran lelaki dan wanita; 78km dewasa lelaki dan wanita; 22km remaja lelaki dan wanita serta 12km kanak-kanak lelaki dan wanita.

Berikutan kejayaan tahun lalu, penganjur turut memperkenalkan sesi pushbike untuk kanak-kanak berumur antara dua hingga lapan tahun sebagai permulaan bagi memupuk minat mereka dalam sukan berbasikal.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya