HANGZHOU: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berhempas pulas sebelum berjaya menempah slot ke pusingan separuh akhir Sukan Asia Hangzhou 2022.
Ia merupakan perlawanan cukup dramatik buat Aaron dan Wooi Yik memandangkan lawan, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi mendapat sokongan padu penyokong tuan rumah dalam aksi yang berlangsung di Gimnasium Binjiang, Hangzhou.
Set pertama mudah dikuasai Aaron-Wooi Yik, namun mereka sepatutnya menamatkan perlawanan lebih awal di set kedua sebelum membiarkan Yu Chen-Xuan Yi mengheret perlawanan ke set ketiga dengan keputusan 19-21.
Di set penentuan, Aaron-Wooi Yik saling bertukar mata dengan pasangan China itu sehinggalah mereka memiliki kelebihan di hujung perlawanan untuk menoktahkan kemenangan dengan keputusan 21-18.
Keputusan mara ke separuh akhir menyaksikan Aaron-Wooi Yik sudah memastikan sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam genggaman mereka.
Lawan di separuh akhir esok adalah di antara pemenang perlawanan membabitkan pasangan Singapura, Nge Joo Jie-Johan Pragojo menentang pilihan kedua kejohanan dari India, Satwik Sairaj Rankireddy-Chirag Shetty.
Terdahulu, perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong tumbang kepada pilihan kedua kejohanan dari Jepun, Kodai Naraoka dengan keputusan 22-24, 15-21.
Hasrat untuk beregu wanita utama negara, Pearly Tan dan M.Thinaah melangkah ke separuh akhir juga tidak kesampaian ketika berdepan pasangan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee.
Pearly dan Thinaah bermula baik di set pertama, namun Pearly kemudiannya tampak bergelut kerana menahan kesakitan yang dialami menyaksikan pasangan negara ini tumpas dengan keputusan 21-15, 11-21, 7-21.