KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) akan mempertaruhkan barisan terbaik, termasuk menyenaraikan beberapa pemain yang masih diragui tahap kecergasannya bagi memenuhi misi memburu kemenangan apabila bertemu wakil Filipina, Stallion Laguna dalam aksi Piala AFC hari ini.
Pemain tengah dan ketua pasukan, Habib Haroon antara pemain yang disenaraikan oleh pengendali Sang Penyu, Tomislav Steinbruckner dalam aksi ketiga Kumpulan G itu biarpun statusnya masih 50-50 akibat kecederaan.
Menurut jurulatih kelahiran Croatia itu, faktor beraksi pada sebelah petang dijangka sedikit menjejaskan rentak Terengganu, namun ia bukan alasan untuk mereka dimalukan lawan dari Filipina itu.
“Kami memulakan kempen dengan baik apabila mengalahkan Central Coast Mariners dan seri menentang Bali United di Indonesia, jadi dapat mengutip tiga mata bertemu Stallion Laguna keputusan terbaik.
“Kelebihan beraksi di gelanggang sendiri juga harus dimanfaatkan, malah kami sedar Terengganu dianggap pasukan pilihan dalam perlawanan ini, jadi pemain harus memberikan aksi terbaik.
“Bagaimanapun kami tidak boleh memandang rendah kemampuan lawan hanya kerana mereka dibelasah oleh Central Coast Mariners dan Bali United dalam perlawanan terdahulu,” kata Steinbruckner semalam.
Stallion dianggap pasukan paling lemah dalam Kumpulan G dengan menghuni tangga tercorot selepas dibelasah 9-1 oleh Central Coast Mariners pada 4 Oktober lalu, selain kalah 2-5 kepada Bali United di laman sendiri, bulan lalu.
Sementara itu Ketua Jurulatih Stallion yang juga pemilik bersama kelab, Ernest Nierras mengakui, pasukan turun sebagai skuad kerdil, apatah lagi mereka baru ditubuhkan pada 2002.
Katanya, aksi Piala AFC adalah peluang untuk meningkatkan prestasi dan kualiti bukan sahaja kepada Stallion Laguna bahkan buat bola sepak di Filipina khususnya.
“Perlawanan pastinya sukar memandang semua kelab di Filipina menggunakan padang tiruan dalam saingan domestik, jadi kami mungkin ‘lambat panas’ pada petang esok.
“Biarpun ada jurang besar dari segi kualiti kedua-dua pasukan, saya mahu pemain-pemain memberi tentangan kepada TFC dan jika dapat meraih keputusan seri, ia dianggap bonus,” jelasnya.