PETALING JAYA: Aksi cemerlang yang ditampilkan kontinjen negara dalam Sukan Para Asia 2022 yang menutup tirai di Hangzhou, China semalam memberi keyakinan kepada Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) untuk memasang sasaran lebih besar di temasya Paralimpik Paris 2024.
Malaysia menamatkan kempen dengan melepasi sasaran 35 pingat (tanpa mengira warna) apabila membawa pulang 39 _pingat keseluruhan iaitu tujuh emas, 15 perak dan 17 gangsa.
Biarpun pencapaian itu tidak sehebat di Jakarta-Palembang 2018 iaitu 17 emas, 26 perak dan 25 gangsa (68 keseluruhan), namun ia realistik mengambil kira kontinjen negara hilang 18 pingat susulan ada sukan atau acara tidak dipertandingkan kali ini.
“Harapan kami dalam Sukan Paralimpik Paris sudah tentu mahu lebih tiga emas, mungkin empat.
“Tumpuan utama kita adalah Paralimpik Los Angeles 2028 dan Brisbane 2032. Di Brisbane, kita akan sasar lebih iaitu 10 emas.
“Formula persatuan sukan kebangsaan, MPM, Majlis Sukan Negara serta Kementerian Belia dan Sukan memberi pendedahan kepada atlet juga membuahkan hasil. Ini petanda positif untuk negara,” kata Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin kepada Mingguan Malaysia.
Semalam, Muhamad Nurdin Ibrahim melengkapkan pingat ke-39 Malaysia dengan meraih gangsa 1,500 meter (m) T20 (kecacatan fizikal).
Di Rio 2016 kontinjen negara meraih tiga emas dan satu gangsa, manakala di Tokyo 2020, pencapaian menjadi lebih baik dengan tiga emas dan dua perak.
Olahraga menyumbang tiga daripada tujuh emas Malaysia di Hangzhou menerusi Datuk Abdul Latif Romly (lompat jauh T20), Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20) dan Ammar Aiman Nor Azmi (400m T2).
Empat lagi emas diraih Nur Syaiful Zulkafli (renang), Nur Suraiya Zamri (berbasikal), Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting) dan Noor Askuzaimey Mat Salim (boccia wanita).