KUALA LUMPUR: Keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) nampak berada dalam keadaan baik sebelum sepak mula final Pestabola Merdeka antara Harimau Malaya menentang Tajikistan pada pukul 9 malam ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, padang yang ditanam dengan rumput baharu jenis Zion Zoysia itu nampak sempurna untuk digunakan biarpun sebelum ini mendapat kritikan ketika Malaysia menentang India pada aksi pertama.
Diharapkan keadaan padang kekal ‘sempurna’ bagi membolehkan aksi final berlangsung dengan baik, sekali gus membantu anak-anak buah Kim Pan Gon mempamerkan aksi terbaik dan menghiburkan penyokong bola sepak negara.
Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menerusi satu kenyataan sebelum ini menjelaskan penilaian teknikal yang menyeluruh ke atas padang di SNBJ sudah dijalankan oleh perunding Zeon Zoysia menerusi perbincangan yang berlangsung dengan pihak terbabit, kelmarin.
“Pihak perunding membentangkan penemuan mereka dan menggariskan langkah-langkah seterusnya untuk memastikan padang berada dalam keadaan terbaik untuk perlawanan hari Selasa ini (hari ini).
“Berikutan perbincangan dan cadangan ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan keputusan mereka untuk meneruskan penganjuran perlawanan akhir di SNBJ.
“Diktiraf sebagai ‘Rumah Harimau Malaya’, PSM berpegang teguh pada komitmennya untuk menyokong dan memastikan kelancaran pelaksanaan persiapan menjelang acara itu berikutan keputusan FAM untuk menggunakan SNBJ,” katanya. – UTUSAN