Padang Bukit Jalil 'koyak' tapi Harimau Malaya cemerlang

Padang Bukit Jalil ‘koyak’ tapi Harimau Malaya cemerlang

ARIF Aiman Hanapi (kiri) meraikan gol kedua Malaysia bersama Faisal Halim ketika menentang India dalam Pestabola Merdeka di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bermain di atas padang baharu Stadium Nasional, Bukit Jalil (SNBJ) tidak seindah yang dijangkakan selepas rumput kelihatan ‘koyak’ ketika babak pertama belum pun berakhir.

Begitupun sedikit ‘kecacatan’ tidak menganggu penyokong negara yang teruja melihat aksi cemerlang ditampilkan Harimau Malaya ketika membedil India 4-2 dalam saingan Pestabola Merdeka, sebentar tadi.

Jaringan Dion Cools, Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan La’Vere Corbin-Ong memastikan anak-anak buah Kim Pan Gon melangkah ke final dengan kemenangan yang selayaknya.

Harimau Malaya kini akan berdepan pasukan ranking ke-110 dunia, Tajikistan untuk merebut trofi Pestabola Merdeka, Selasa ini.

Reputasi India selaku pasukan ke-102 dunia nyata tidak menggerunkan Malaysia yang menampilkan serangan tersusun sejak awal permainan.

PERTAHANAN India, Mehtab Singh cuba menghalang pemain negara, Arif Aiman Hanapi (kiri) di Stadium Nasional, Bukit Jalil hari ini. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Bagaimanapun, keadaan padang baharu SNBJ yang masih ‘lembut’ sedikit merencatkan aksi kedua-dua pasukan apabila beberapa bahagian rumput dilihat tercabut dan menghalang pergerakan bola.

Dalam perlawanan itu, India terlebih dahulu berpeluang untuk berada di hadapan, namun percubaan mereka pada minit pertama sekadar menggegarkan palang gol.

Tersentak dengan asakan awal India, skuad negara mula memperkemaskan permainan yang menyaksikan Arif Aiman hampir meletak Malaysia dihadapan pada minit keenam.

Gol pertama skuad negara hadir selang seminit kemudian hasil jaringan Cools yang melakukan rembatan voli selepas menerima hantaran daripada Nooa Laine.

PERTAHANAN India, Mehtab Singh cuba menghalang pemain negara, Arif Aiman Hanapi (kiri) di Stadium Nasional, Bukit Jalil hari ini. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

 

Tersentak dengan jaringan tersebut, India yang dibimbing jurulatih dari Croatia, Igor Stimac bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-12 menerusi pemain tengah, Mahesh Singh yang merembat deras menewaskan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Permainan selepas itu bertambah rancak dan Malaysia dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-17 selepas Darren Lock dijatuhkan oleh pertahanan India di dalam kotak penalti.

Arif Aiman yang ditugaskan mengambil sepakan itu tenang menyepak bola ke sebelah kiri pintu gol India untuk Malaysia kembali berada di hadapan 2-1 dan memimpin perlawanan.

Pada minit ke-41, giliran Faisal pula meledak gol selepas dia memanfaatkan kesilapan pertahanan India yang kehilangan bola, sekali gus menyaksikan ‘siu’ bergema di SNBJ.

Kedudukan 3-1 kekal sehingga kedua-dua pasukan memasuki bilik persalinan.

Bersambung babak kedua, India kembali merapatkan kedudukan menerusi penyerang berbisa mereka, Sunil Chhetri pada minit ke-51.

Gol itu mencetuskan semangat India dan keadaan sedikit tegang pada minit-56 selepas mereka mendakwa bola percubaan, Lallianzuala Chhangte sudah melepasi garisan gol namun, tidak dikira oleh pengadil.

Malaysia kembali menjarakkan kedudukan menerusi Corbin Ong pada minit ke-61 selepas pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menyudahkan hantaran cantik Faisal.

India berpeluang merapatkan kedudukan pada minit ke-68 menerusi Lallianzuala, namun palang gol sekali lagi menyelamat kem Malaysia ketika Syihan sudah tertewas.

Keputusan 4-2 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, sekali gus menyaksikan Harimau Malaya mara ke final Pestabola Merdeka 2023 menentang Tajikistan pada Selasa ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya