PETALING JAYA: Meneruskan bidaan untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034 antara isu yang akan dibincangkan oleh negara-negara ASEAN dalam mesyuarat yang akan diadakan pada minggu depan.
Sebelum ini, 10 negara ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN 2019 telah bersetuju untuk membida menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034 dengan Thailand sebagai negara peneraju.
“Minggu depan, negara-negara ASEAN akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan beberapa isu, termasuk meneruskan bidaan untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2034.
“Sebelum ini, 10 negara ASEAN bersetuju pada Sidang Kemuncak ASEAN 2019 untuk membida menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034 dengan Thailand sebagai negara peneraju,” kata ASEAN Football dalam hantaran di media sosialnya.
Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan menerima pelawaan Indonesia dan Australia untuk membida tuan rumah bersama Piala Dunia 2034.
Presidennya, Datuk Hamidin Mohd. Amin menegaskan, mereka tidak berganjak dengan pendirian menyokong bidaan Arab Saudi untuk edisi ke-25 kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia itu.
“Saya nafikan dan Malaysia tidak akan membida. Kami memberi sokongan penuh kepada Arab Saudi,” kata Hamidin- UTUSAN